Gali semula kubur untuk siasatan jenayah harus – Mufti

Gali semula kubur untuk siasatan jenayah harus – Mufti

lokman.khairi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Hukum menggali semula kubur bagi tujuan bedah siasat untuk siasatan jenayah adalah harus, kata Mufti Pulau Pinang, Prof Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman.

Menurutnya, hukum ini menjadi harus apabila terdapat darurat atau keperluan syarie yang tidak dapat dielakkan seperti siasatan jenayah untuk menegakkan keadilan atau membuktikan kes pembunuhan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan hukum asal menggali semula kubur adalah haram kerana ia mencemarkan kehormatan si mati.

“Ulama mazhab Syafie menyatakan haram hukumnya membongkar kubur kecuali dengan sebab yang diiktiraf syarak, antaranya untuk tujuan penyiasatan atau pengesahan identiti dalam kes jenayah.

“Selain itu, penggalian semula kubur diharuskan jika bertujuan mengambil semula harta yang tertanam bersama mayat secara tidak sengaja dan memindahkan jenazah ke tempat lain jika tanah kubur terancam atau rosak,” katanya kepada Harian Metro.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, kebenaran untuk menggali semula kubur tertakluk kepada beberapa syarat yang ketat.

“Ia hanya boleh dilakukan jika tiada alternatif lain untuk mendapatkan bukti, dijalankan oleh pihak berkuasa yang sah.

“Prosesnya juga mestilah dilakukan dengan penuh adab serta memelihara maruah jenazah,” katanya.

Mengulas mengenai pengurusan jenazah selepas bedah siasat, beliau berkata, jenazah tidak wajib dimandikan atau disolatkan semula sekiranya semua rukun sudah disempurnakan sebelum pengebumian pertama.

“Namun, jika bedah siasat itu menyebabkan jenazah terkena najis atau kain kafan rosak, maka ia hendaklah dibersih dan dikafankan semula sebaik mungkin sebelum dikebumikan kembali.

“Solat jenazah kali kedua hanya perlu dilakukan jika solat pertama belum dibuat atau tidak sah,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan polis menggali semula kubur pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir bagi tujuan bedah siasat ke atas jenazah mengikut peruntukan Seksyen 331 dan Seksyen 335 Kanun Tatacara Jenayah.

Jenazah Zara Qairina kemudiannya dibawa ke Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu dan bedah siasat dilaporkan selesai sebelum jam 8 malam tadi.

Pelajar itu dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sebuah sekolah agama di Papar, Sabah pada 16 Julai lalu sebelum disahkan meninggal dunia sehari kemudian di Hospital Queen Elizabeth.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top