Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif menolak tuduhan yang tersebar di media sosial mengaitkan anaknya dengan kematian seorang pelajar sekolah agama di Sabah, Zara Qairina Mahathir.
Beliau berkata, terdapat hantaran di media sosial yang menuduh seorang pelajar bernama Farisha — dikatakan anaknya — terlibat dalam insiden tersebut, namun dakwaan itu tidak berasas.
BACA: Mimi Lana Tegas Tuntut Keadilan Buat Zara Qairina
“Saya tidak mempunyai anak bernama demikian dan tiada anak saya yang bersekolah di sekolah berkenaan,” tegasnya pada sidang media sempena Program Jerayawara Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) bersama pelajar Sabah di Pusat Konvensyen Bangi Avenue, hari ini.
Menurut Mohd Arifin, ketika Zara Qairina sedang menerima rawatan di hospital, beliau bersama Ketua Pengarah Pendidikan Kementerian Pendidikan (KPM) dan rombongan telah menziarahi ibu mangsa.
“Empat hari selepas pemergian Zara, saya bersama wakil Yayasan Sabah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin telah berkunjung ke kediaman keluarga Allahyarhamah di Sipitang untuk menyampaikan salam daripada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor,” katanya, yang turut memegang portfolio Exco Pendidikan dan Agama Sabah.
Beliau menambah, pihaknya menunggu keputusan penuh siasatan polis dan menegaskan tidak akan melindungi mana-mana pihak jika terbukti ada salah laku.
“Kami berharap proses siasatan dijalankan secara telus demi memastikan keadilan kepada pelajar ini,” ujarnya.
Pada 17 Julai lalu, Zara Qairina, pelajar Tingkatan Satu di sebuah sekolah agama di Papar, ditemui tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) sekitar jam 11 pagi.
Kes tersebut mencetuskan perhatian ramai selepas dakwaan tersebar bahawa kematiannya berpunca daripada kejadian buli dan perbuatan jenayah yang melibatkan anak menteri, individu berprofil tinggi serta orang kenamaan, sehingga menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat.




