'Saya kesal benarkan anak kerja di Kemboja'

'Saya kesal benarkan anak kerja di Kemboja'

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Seorang bapa kesal membenarkan anak sulungnya menerima tawaran kerja di luar negara dan kini menjadi tebusan sindiket pemerdagangan manusia di Kemboja.

Bapa mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Ravi, 59, berkata, mereka sekeluarga tidak tahu berhubung isu pemerdagangan manusia yang masih berlaku di Kemboja dan beberapa negara jiran.

“Kalau saya tahu, saya tidak akan benarkan anak saya itu pergi ke sana, selepas dapat tahu anak saya jadi mangsa di Kemboja, isteri saya pengsan.

“Sudah tiga ke empat hari kami tak dapat bercakap langsung dengan dia, dan kali terakhir kita buat panggilan video, dia nampak ketakutan,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Menurutnya, anak lelakinya yang berusia 25 tahun itu mendapat tawaran kerja yang lumayan sebagai pegawai khidmat pelanggan di Kemboja lalu bertolak pada 8 Julai lalu menggunakan tiket yang ditaja sepenuhnya oleh sindiket terbabit.

Katanya, tidak lama kemudian mangsa menghubungi keluarga dan meminta dibawa keluar dari negara itu berikutan didera serta dibuli.

“Malam itu dia ada telefon dan bagi tahu semua okay, dia duduk di asrama dan tempat kerja okay, tetapi beberapa hari kemudian dia telefon lagi minta dibawa keluar dari situ.

“Dia kata dia selalu didera, kena pukul, makan pun tidak tentu dan dipaksa bekerja sebagai scammer hingga jam 3 ke 4 pagi setiap hari,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, berdasarkan maklumat yang diberikan, pihaknya yakin dapat mengenal pasti lokasi mangsa.

Katanya, butiran mangsa tidak dapat didedahkan kerana dikhuatiri boleh menjejaskan operasi menyelamatkan mangsa di Kemboja kelak.

“Dalam isu pemerdagangan manusia ini kita ingat semua orang sedar rupanya ada juga orang yang masih tidak tahu berlakunya kegiatan ini.

“Masalah ini pemerdagangan manusia di Kemboja ini dah berlarutan tetapi pasukan Task Force Kemboja sangat bagus mereka banyak membantu kita.

“Kita salurkan maklumat dan Task Force ini akan bantu kita keluarkan mangsa dari pusat scam ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top