Bukan beban, Naura buktikan anak ADHD ada potensi

Bukan beban, Naura buktikan anak ADHD ada potensi

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Kajang: Beban dan dianggap tidak normal. Itu gelaran pernah diterima Naura Kaamila Mohd Fahmi Ramadhan atau lebih manja dipanggil Naura kerana tidak seperti kanak-kanak lain akibat Gangguan Perhatian Defisit Hiperaktif tahap ringan atau ‘Mild ADHD’.

Ibunya, Fatin Anati Mat Khirul Anuar, 38, berkata, anak sulungnya itu juga pernah diejek kerana berkulit hitam manis namun baginya, Naura tetap istimewa kerana ada kelebihannya walaupun kurang daya tumpuan dan ada masalah pengurusan diri.

Bercerita lanjut, Fatin Anati berkata, Naura, 11, berbakat dalam menghasilkan aksesori seperti gelang tangan dan rantai kunci yang turut dijual untuk suka-suka.

Disebabkan itu, Fatin Anati menyedari anaknya lebih cenderung dengan subjek Pendidikan Seni hingga hasil kerjanya sering mendapat perhatian guru di sekolah.

“Kalau bab seni saja, dia cepat dan boleh fokus mungkin sebab itu minatnya.

“Saya dan suami sokong saja dengan bantu beli barang untuk dia hasilkan gelang, rantai kunci dan apa saja berkaitan kraftangan.

“Apa yang menariknya, Naura pandai menjual jadi saya boleh nampak juga bakatnya dalam bidang perniagaan.

“Satu lagi kelebihan Naura adalah pandai merakam dan muat naik ‘content’ (perkongsian) di TikTok… boleh nampak kebolehannya itu sejak berusia tujuh tahun lagi,” katanya ketika ditemui Harian Metro di rumahnya di sini.

Fatin Anati berkata, dia sudah menerima keadaan Naura sebelum doktor mengesahkan penyakit dan status anaknya lagi.

Dia dan suami turut mencari maklumat mengenai ADHD dengan merujuk pakar serta ibu bapa yang ada anak dengan kategori sama.

Menurutnya, kebajikan dan pelajaran Naura adalah keutamaannya dan suami, jadi bagi memastikan anaknya tidak leka dan serta ketinggalan dia mengupah guru tuisyen untuk mengajar Naura secara persendirian.

“Mereka yang tak kenal akan nampak Naura macam budak normal kerana Naura pun sekolah di aliran perdana tapi hakikatnya dia susah fokus.

“Nak beri arahan pun tak boleh banyak dalam satu masa kerana belum tentu dia akan dengar dan buat.

“Disebabkan itu, saya dan suami ambil khidmat guru tuisyen untuk ajar Naura di luar waktu sekolah supaya dia boleh fokus bila belajar berseorangan,” katanya yang mengharap Naura membesar dengan sihat dan berjaya dalam apa jua bidang diceburi walaupun berstatus OKU.

Sementara itu, suaminya, Mohd Fahmi Ramadhan Mohamed Ayub, 44, mengakui ada cabaran tersendiri dalam menjaga anak istimewa seperti Naura yang dilahirkan pra matang ketika berusia 31 minggu sebelum didiagnos ‘Mild ADHD’ dan Orang Kurang Upaya (OKU) dua tahun lalu.

Bagaimanapun, Mohd Fahmi Ramadhan yang bekerja sebagai pembantu pengurus di sebuah hotel bersyukur kerana isterinya banyak membantu dalam memantau Naura di rumah.

“Masalah Naura adalah susah fokus, ada saja boleh mengganggunya sehingga susah nak siap satu-satu kerja.

“Doktor pun beritahu Naura kena hidup berpandukan jadual dan ikutkan saya dengan isteri ambil masa dua tahun nak mohon kad OKU buat Naura kerana fikir bagaimana keadaannya nanti jika pegang status itu.

“Tapi tahun ini kami terbuka hati nak mohon kerana fikirkan banyak kelebihan anak akan dapat.

“Saya ada kongsi mengenainya juga di TikTok dan memang ada segelintir netizen persoalkan kenapa ambil kad OKU sedangkan Naura nampak normal tapi kami hidup dengannya jadi lebih tahu,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top