Tokyo: Di sebuah kedai cenderamata Jepun yang menjual pelbagai barangan comel seperti pelekat dan rantai kunci, satu rak mainan menarik perhatian dipenuhi watak-watak aneh ciptaan kecerdasan buatan (AI) yang kini cukup dikenali dalam kalangan kanak-kanak di seluruh dunia.
Antara figura pelik yang tular ialah jerung berkaki besar lengkap dengan kasut sneakers, buah oren berotot, dan ‘Ballerina Cappuccina’ yang mempunyai cawan kopi di kepalanya.
Fenomena ini dikenali sebagai ‘Italian Brainrot’ iaitu trend yang muncul dari media sosial seperti TikTok, dan kini menjadi kegilaan generasi muda Gen Z dan Gen Alpha.
“Mula-mula memang tak kelakar langsung. Tapi lama-lama boleh jadi ketagih,” kata Yoshi Yamanaka-Nebesney, 16, dari New York yang kini melancong ke Tokyo bersama ibunya, Chinami yang langsung tidak faham apa yang dibualkan anaknya itu.
Menurut Yoshi, ramai menggunakan video dan watak-watak itu untuk ‘menyakat’ kawan atau sekadar hiburan ringan.
Nama ‘brainrot’ itu sendiri merujuk kepada perasaan ‘layu otak’ akibat terlalu lama melayari media sosial yang penuh dengan kandungan melampau dan tidak masuk akal.
Viral di serata dunia
Watak-watak AI yang pelik ini menjadi meme global. Antara yang popular termasuk lagu ‘Brainrot Rap’ yang sudah ditonton lebih 116 juta kali di YouTube. Satu lagi video pendek bertajuk “Learn to Draw 5 Crazy Italian Brainrot Animals” pula meraih 320 juta tontonan yang menampilkan watak seperti ‘Lirili Larila’, gabungan kaktus dan gajah.
“Setiap watak ada dialog masing-masing,” kata Yoshi sambil ketawa, manakala ibunya hanya mampu menggeleng kepala.
Fenomena ini bukan terhad di negara Barat malah peminat cilik ‘Italian Brainrot’ juga wujud di Kenya, Sepanyol, Korea Selatan, dan Indonesia.
Malah, banyak video popular diselitkan dengan unsur bahasa dan budaya Indonesia.
“Ketika pergi Mexico dengan kawan-kawan, orang sana pun tahu mengenai watak ini,” tambah Yoshi.
Trend sementara, tapi kesan mendalam
Menurut pensyarah media digital dari Universiti Amsterdam, Idil Galip, fenomena ini mungkin sudah mencapai kemuncak sekitar sebulan dua lalu.
Namun, katanya, penggunaan bahasa Itali menjadikan video ini lebih kelakar dan mudah ‘masuk’ dengan audiens global.
Satu lagi faktor utama ialah rakyat Indonesia yang aktif berkongsi dan menghasilkan kandungan di media sosial.
Kini, sudah muncul semacam ‘ekonomi pemasaran pelbagai peringkat’ yang menggunakan watak-watak brainrot untuk menjual barang atau menjana pendapatan dari iklan digital.
Ibu bapa tak faham, anak makin obses
Nurina, 41, pekerja badan bukan kerajaan (NGO) dari Indonesia berkata, anak lelakinya yang berusia tujuh tahun sangat obses dengan dunia brainrot.
“Kadang-kadang masa ambil dia balik sekolah, dia akan jerit ‘Mommy! Bombardino Crocodilo!’, watak pesawat pengebom berkepala buaya,” katanya.
Walaupun tahu ia menghiburkan, Nurina tetap bertegas: “Saya kena ingatkan dia yang ini semua tak benar.”
Namun, katanya tidak semua kandungan sesuai.
Ada video yang dikritik kerana memuatkan mesej sensitif seperti dialog dalam bahasa Itali yang merujuk kepada pengeboman kanak-kanak di Gaza.
“Masalahnya, kandungan dewasa diselit dalam video yang kononnya untuk budak-budak,” kata Oriza Sativa, ahli psikologi klinikal di Jakarta.
Tambahnya, ramai ibu bapa tidak cukup celik teknologi untuk menyedari kandungan berbahaya ini.
Tung Tung Tung Sahur juga ‘meletup’
Salah satu watak brainrot paling popular dari Indonesia ialah ‘Tung Tung Tung Sahur’ diinspirasikan dari bunyi gendang yang digunakan untuk mengejutkan orang bangun sahur ketika Ramadan.
Watak ini dicipta oleh Noxa, remaja berusia 20 tahun dari Indonesia.
Menurut Mementum Lab, kolektif artis dan peguam dari Paris yang kini mewakili Noxa, remaja ini menghasilkan video ‘overstimulated’ dengan bantuan AI.
“Saya tak nak watak saya jadi sekadar lawak bodoh. Saya nak dia ada makna,” kata Noxa melalui kenyataan bersama Mementum Lab.
Namun, tidak semua faham maksud sebenar.
Seorang pelancong berusia 12 tahun di Tokyo menyangka watak Tung Tung Tung Sahur itu ialah kayu pemukul besbol.
Bagi orang dewasa pula, watak-watak ini lebih mengundang bingung daripada kagum.
“Eh, apa benda ni?!” soal seorang wanita sambil terpinga-pinga melihat patung-patung brainrot berbaris di rak kedai.
“Langsung tak comel!”
© New Straits Times Press (M) Bhd




