am@hmetro.com.my
Gua Musang: Suasana pilu menyelubungi perkarangan Unit Forensik Hospital Gua Musang apabila wanita yang cedera dalam kemalangan membabitkan empat maut di Gua Musang-Kuala Krai, berdekatan Felda Chiku 1, pagi tadi dibawa untuk menatap jenazah dua anak serta suaminya buat kali terakhir.
Tuan Nor Syuhada Mohd Zain, 23, cedera parah apabila tangan dan leher patah dibawa menggunakan katil hospital untuk melihat jenazah anaknya, Muhammad Aryan Fattah Abdul Qayyum, 5 dan Muhammad Aydan Fattah, 4, serta suami, Muhammad Faiz Nor Amran, 31.
Tidak mampu bergerak dan bangun, Tuan Nor Syuhada hanya mampu mengusap jenazah dan hanya mengalirkan air mata tanpa mampu berkata-kata.
Pada masa sama, ibu mentuanya, Shahima Hamid, 54, sekali lagi pengsan buat kali kelima selepas jenazah dibawa keluar untuk dibawa menaiki van jenazah.
Bapa mentuanya, Nor Amran Mat Nor, 58, berkata, jenazah dua anak dan dua cucunya itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang To’La, Pasir Mas.
Katanya, situasi sukar ini perit untuk diterima namun sebagai manusia yang percaya kepada Qada dan Qadar Allah SWT, dia menerima dengan hati yang reda.
“Kita menerima takdir ini dengan reda walaupun pahit. Saya ada lapan anak, tujuh lelaki dan seorang perempuan.
“Itulah satu-satunya anak perempuan yang kami ada, tapi Allah SWT sudah mengambilnya tapi saya reda.
“Isteri saya masih dalam keadaan yang lemah namun saya, anak-anak dan keluarga akan terus berada bersama untuk memberi kekuatan kepadanya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, proses bedah siasat bermula pada jam 4.50 petang dan selesai pada 7.15 malam.
Katanya, pihak polis akan mengiringi tiga van jenazah yang membawa empat jenazah berkenaan sehingga ke Pasir Mas.
Berita berkaitan:
‘Mama baru sahaja hubungi mereka sebelum kami dikejutkan dengan berita kemalangan itu’
Wanita pengsan 4 kali lihat jenazah anak, cucu maut kemalanganWanita pengsan 4 kali lihat jenazah anak, cucu maut kemalangan
‘Saya hanya ada 2 cucu, dan mereka hilang dalam sekelip mata’
Empat maut kemalangan di Felda Chiku termasuk dua kanak-kanak
© New Straits Times Press (M) Bhd




