Sititi terlepas aksi menentang Argentina

Sititi terlepas aksi menentang Argentina

Auckland: Pemain tonggak New Zealand, Wallace Sititi disahkan tidak dapat beraksi pada perlawanan pembukaan Kejohanan Ragbi menentang Argentina kerana masih dalam proses pemulihan selepas pembedahan buku lali, kata jurulatih, Scott Robertson, hari ini.

Sititi yang dinobatkan sebagai Pemain Terbaik All Blacks pada musim debutnya pada 2024, terlepas keseluruhan siri menentang Perancis akibat kecederaan itu dan berharap dapat kembali untuk perlawanan di Cordoba, Sabtu ini.

Namun, beliau dijangka berehat sekurang-kurangnya seminggu lagi, sekali gus membuka peluang untuk Peter Lakai dipanggil semula atau Simon Parker melakukan penampilan sulung.

Robertson yang akan mengumumkan skuadnya pada Khamis, mungkin memilih untuk mengekalkan keserasian di barisan belakang selepas menurunkan pemain berpengaruh, Ardie Savea di posisi nombor lapan dan Du’Plessis Kirifi di flanker dalam ujian ketiga menentang Perancis, selepas Luke Jacobson menarik diri pada saat akhir kerana kecederaan.

All Blacks menewaskan Perancis 29-19 di Hamilton.

New Zealand tewas tiga daripada 10 perlawanan terakhir mereka kepada Pumas termasuk aksi Kejohanan Ragbi tahun lalu di Wellington, tetapi belum pernah tewas di Argentina sepanjang 40 tahun pertemuan ujian menentang pasukan Amerika Selatan itu.

Robertson berkata, kekalahan mengejut 0-38 di Wellington itu masih segar dalam ingatan pemainnya.

“Mereka pasukan yang penuh pengalaman, ramai bermain di Eropah, dibimbing dengan baik dan bermain dengan penuh semangat,” katanya mengenai Argentina.

“Sesiapa sahaja boleh menewaskan sesiapa pada malam perlawanan, anda perlu berada di tahap terbaik setiap perlawanan. Itulah yang menjadikan jelajah ini begitu menarik.”

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top