rnoraina@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi Bahagian Komunikasi Strategik (BKS) merancang pembangunan Pensijilan ISO Pengurusan Krisis Komunikasi.
Ia antara persediaan Pelan Strategik SPRM yang baharu, bermula 2026.
Pengarah BKS SPRM, Hisyam Mohd Yusoff berkata, semua pihak khususnya sektor kerajaan perlu melihat usaha itu sebagai perubahan yang perlu dilaksanakan secara bersama dan tidak lagi bekerja secara sendiri atau ‘silo’.
“Pengurusan dalam krisis komunikasi adalah satu keperluan penting pada masa sekarang dan BKS mengambil inisiatif dengan mula merancang pembangunan Pensijilan ISO Pengurusan Krisis Komunikasi.
“Jabatan Standard Malaysia (JSM) sebagai agensi penting dalam membantu SPRM mencapai usaha itu, sepertimana kerjasama JSM memberikan pengiktirafan Sijil Akreditasi ISO/IEC 17025:2017 kepada Makmal Forensik Digital SPRM pada tahun lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hisyam berkata, Pensijilan ISO itu juga penting bagi membentuk satu standard pengurusan krisis komunikasi yang akan diterima pakai oleh setiap agensi kerajaan termasuk swasta.
Katanya, SPRM melihat tahap rasionaliti, pemikiran dan persepsi masyarakat yang semakin mudah terpengaruh dengan berita tidak benar menyebabkan tercetusnya idea serta keperluan mewujudkan pelan itu.
Terdahulu, delegasi BKS diketuai oleh Timbalan Pengarahnya, Jules Rahman Ong mengadakan perbincangan dengan JSM berkaitan cadangan pembangunan standard dan akreditasi dalam bidang pengurusan komunikasi di pejabat JSM di Cyberjaya di sini, hari ini.
Sementara itu, Pengarah JSM, Wan Rukiman Wan Mamat menyambut baik dan memberi komitmen untuk bekerjasama dengan SPRM dalam membangunkan ISO terbabit.
© New Straits Times Press (M) Bhd