Pelakon dan pengacara, Safwan Nazri terbuka berkongsi pengalaman mistiknya sepanjang menjadi hos podcast ‘Sembang Seram’.
Menerusi perkongsian di TikTok, Safwan atau nama penuhnya, Muhammad Safwan Mohammad Nazri, 30, berkata, setiap kali dia selesai mengadakan sesi podcast dengan tetamu jemputannya adalah seorang wanita, dia akan mengambil inisiatif untuk singgah dan menghabiskan masa di masjid sebelum pulang ke rumah.
Ini kerana, menjalani penggambaran bersama tetamu wanita kadangkala sedikit menyeramkan.
“Kadang-kadang bila balik podcast, mana episod podcast yang aku rasa vibe dia tak cantiik (menyeramkan) selalunya episod perempuan lah, episod lelaki selalu tak seram, aku balik aku lepak masjid dan bila aku balik rumah ada few episod yang anak aku menangis teruk.
“Jadi ini dugaan untuk aku sebagai hos Sembang Seram. Meskipun nampak indah belaka, views banyak tapi ujian ni aku seorang yang hadap.
“Kadang-kadang aku stop lama, dan kadang juga aku buat episod sekali banyak lepastu aku stop, rileks kejap.
“Dan, ada satu time tu benda ni memang bagi kesan dekat aku. Masa tu anak aku dua-dua menangis teruk seteruknya. Setiap malam.
“Dan tiba-tiba kawan kakak aku DM dia, tanya aku okay ke atau tak. Bila tak puas hati aku call balik abang tu tanya kenapa tiba-tiba sahaja tanya aku okay ke tak? dia (kawan kakak) bagitahu saja tanya. Jadi, saya pun bagitahu yang saya rasa macam lain.
“Rupanya, kakak aku cerita abang tu adalah seorang pengamal perubatan,” katanya.

Hampir campak anak sendiri
Berkongsi lanjut, Safwan memaklumkan bahawa selepas dia menceritakan kejadian aneh yang pernah dialaminya, individu berkenaan menyarankan agar dia menjalani rawatan cara Islam di kediamannya sendiri.
“Jadi abang tu boleh rasa dan minta aku beli garam kasar untuk berubat.
“Selepas maghrib aku mandi, anak aku mandi, yang sebelum ni mereka nangis teruk terus tak menangis dah. Malam tu terus tidur nyenyak.
“Pernah dalam episod lain pula, aku mimpi aku pegang anak aku, anak aku tiba-tiba muka bukan anak aku. Muka hitam yang mengerikan, yang rasa betul-betul aku nak campak anak tu.
“Tapi bila saya nak campak bayi tu jatuh bawah, saya tersedar. Bayangkan kalau terlayan mimpi tu, saya campak anak saya sendiri jatuh bawah. Sebab mimpi tu real, lillahitaala,” jelasnya.




