London: Jack Grealish mendapatkan panduan daripada Wayne Rooney ketika memulakan karier baharunya dengan mengambil nombor jersi pernah menjadi ikon legenda England itu di Everton.
Grealish melengkapkan urusan perpindahan pinjaman semusim dari Manchester City pada Selasa dan menjalani latihan pertamanya di pusat latihan Everton, Finch Farm.
Dia berpeluang membuat penampilan sulung yang dinanti-nantikan ketika menentang Leeds pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), awal pagi Selasa ini.
Everton mempunyai pilihan untuk membeli Grealish dalam tempoh 12 bulan, namun bukan dengan harga £50 juta (RM285 juta) seperti yang diperkatakan kerana dia akan mencecah usia 30 tahun dan harga itu tidak masuk akal.
Grealish menerima pemotongan gaji yang besar untuk berpindah ke Stadium Hill Dickinson.
Dia akan memakai jersi nombor 18 dan mendedahkan nombor itu istimewa baginya kerana sinonim dengan Rooney dan Paul Gascoigne, yang pernah beraksi singkat di Merseyside pada awal abad ini.
“Terdapat nombor lain, tetapi dua pemain England kegemaran saya ialah Wayne Rooney dan Paul Gascoigne dan saya tahu kedua-duanya memakai nombor 18 di sini,” kata Grealish.
“Jadi, sebaik sahaja saya tahu perpindahan ini hampir selesai, saya periksa dan nombor 18 masih kosong, jadi ia sempurna untuk saya dan itu satu-satunya nombor yang saya mahu ambil sejak itu.
“Saya bercakap dengan Wayne sebelum saya datang ke sini dan saya sebut mengenai nombor 18 itu, jadi saya harap dia pun gembira! Sebaik sahaja saya bercakap dengan pengurus (David Moyes), saya tahu hanya ada satu destinasi yang saya mahukan.
“Di media sosial, saya menerima begitu banyak mesej daripada penyokong Everton, jadi itu salah satu sebab saya memilih Everton.”
Moyes seperti dilaporkan Daily Mail Sport pada Selasa adalah seorang yang sangat meyakinkan apabila mahu mendapatkan pemain berkualiti dan dia percaya Grealish boleh memberikan sentuhan bintang yang diperlukan skuadnya.
“Saya tahu cita-cita Jack adalah untuk kembali ke skuad England,” kata Moyes.
“Jadi saya berharap kami dapat membantunya mencapai impian itu sepanjang musim ini.
“Kami semua tidak sabar untuk bekerjasama dengannya dan menyediakan platform untuk dia mempamerkan versi terbaik dirinya.”
© New Straits Times Press (M) Bhd




