harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kementerian Pertahanan (MINDEF) menegaskan tiada elemen penderaan membabitkan kematian penuntut Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor, Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, siasatan pihaknya mendapati, latihan dijalankan jurulatih mengikut garis panduan ditetapkan bagi Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES).
Menurutnya, kejadian itu berlaku pada hari pertama latihan dijalankan membabitkan kira-kira 30 pelatih bersama Allahyarham ketika itu, malah pihak hospital mengesahkan tiada kecederaan fizikal pada tubuh Allahyarham.
“Laporan daripada hospital juga mengesahkan bahawa tidak ada apa-apa kesan kecederaan pada jasad Allahyarham dan ini semua mendukung dapatan yang dibuat oleh pihak siasatan polis. Tak ada.
“Jadi, itu sebenarnya keadaan yang ingin kita jelaskan, punca kematian, hospital dijangka ambil masa sebulan dua untuk dapat tahu apa sebenarnya punca kepada kematian itu.
“Dari segi kecederaan memang tak ada, jadi itu yang saya nak tekankan, kita jangan kait dan samakan macam apa yang berlaku di Sabah,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan (AKP) 2025, di Wisma Pahlawan, di sini, hari ini.
Menurutnya, berdasarkan siasatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan keterangan-keterangan daripada jurulatih serta kadet yang terbabit dalam latihan itu mendapati, ia dijalankan mengikut garis panduan ditetapkan.
“Siasatan ATM mendapati tiada unsur-unsur penderaan ke atas Allahyarham dan ketika kejadian terdapat saksi-saksi.
“Semua keterangan saksi sudah diambil terdiri daripada pegawai PALAPES dan kadet yang terbabit dalam latihan itu,” katanya.
Mohamed Khaled berkata, dapatan siasatan pihaknya setakat ini selari dengan hasil siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan laporan pihak hospital namun jika didapati berlaku keculasan atau unsur-unsur lain, pihaknya akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.
Katanya, pegawai pelatih dan pasukan paramedik tentera turut memberikan bantuan perubatan awal mengikut prosedur operasi standard (SOP) kepada Allahyarham ketika kejadian.
“Jika didapati wujudnya unsur-unsur penderaan ataupun jenayah, pihak kita akan beri kerjasama yang sepenuhnya, tetapi ketika ini masih kita tak ada apa-apa yang menjurus begitu.
“Allahyarham ketika itu terlibat dalam apa yang dipanggil sebagai latihan inokulasi tempur dan selepas keluar (selesai), dia meninggal dunia,” katanya.
Mengulas mengenai permintaan bedah siasat kedua oleh ibu mangsa, Mohamed Khaled berkata, perkara itu tidak boleh diputuskan oleh MINDEF sebaliknya ia di bawah bidang kuasa PDRM.
Katanya, punca sebenar kematian hanya akan diketahui selepas mendapat laporan analisa makmal yang akan memakan masa beberapa bulan.
© New Straits Times Press (M) Bhd