am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: ASEAN perlu mengambil pendekatan lebih kolaboratif dalam meningkatkan ekonomi negara serantau.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berkata persaingan antara negara ASEAN tidak seharusnya bersifat zero-sum.
“Kita boleh bekerjasama meningkatkan nilai ekonomi negara masing-masing, menangani masalah global bersama, membina keupayaan tempatan dan memacu pertumbuhan hijau di rantau ini,” katanya di Persidangan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) ASEAN 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, hari ini.
Beliau berkata, kerjasama itu boleh mencontohi pendekatan negara Eropah bergabung membangunkan industri pesawat, Airbuspada 1960-an untuk bersaing dengan Amerika Syarikat.
“Kita seharusnya memanfaatkan kekuatan teras untuk membangunkan industri ASEAN seperti kenderaan elektrik (EV), cip, ekonomi hijau dan sektor latihan kemahiran.
“Kita telah melakukannya baru-baru ini dengan piawaian ASEAN untuk pembiayaan hijau, rangkaian kuasa ASEAN dan Perjanjian Rangka Ekonomi Digital ASEAN (DEFA),” katanya.
Steven berkata bagi meningkatkan mobiliti tenaga kerja mahir, ASEAN perlu bergerak ke arah pensijilan kemahiran serantau yang diiktiraf merentasi sempadan.
“Mungkin sudah tiba masanya mewujudkan Pusat Penjelasan Kemahiran ASEAN (ASEAN skills clearing house) bagi membolehkan pengiktirafan bersama piawaian kemahiran negara,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, ASEAN harus menjadi platform perkongsian pengalaman dalam latihan kemahiran, perindustrian dalam sektor yang berbeza mempunyai kelebihan daya saing akan membolehkan kita saling melengkapi.
“Bagi merealisasikan potensi ASEAN sepenuhnya, kita mesti bergerak ke arah kerjasama yang lebih tinggi dalam rangka kerja pensijilan bersama.
“Malaysia kini dalam proses meminda undang-undang pembangunan kemahiran untuk mengiktiraf kelayakan TVET yang lebih tinggi melepasi had semasa iaitu diploma lanjutan TVET.
“Negara anggota ASEAN juga harus menggalakkan pelaburan swasta dalam bidang TVET dan latihan kemahiran,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




