mahaizura@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul akan mendapatkan penjelasan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengenai dakwaan serangan ke atas anak seorang bekas menteri di pusat beli-belah di Putrajaya.
Johari berkata, beliau sendiri akan menghubungi Saifuddin untuk meminta penjelasan berkenaan kejadian membabitkan anak bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli.
“Ini membabitkan keselamatan kita semua. Saya pun tidak tahu apa yang berlaku sebenarnya, jadi saya akan minta Menteri Dalam Negeri berikan penjelasan kepada saya.
“Kalau sekiranya perlu sesi penjelasan, kita akan minta menteri datang. Ini sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian selepas Wong Chen (PH-Subang) membangkitkan perkara itu sebaik Muhammad Ismi Mat Taib (PN-Parit) selesai membahaskan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13).
Terdahulu, Wong bangun mencelah dengan menggunakan Peraturan 14(1)(i) apabila meminta menteri terbabit memberikan penjelasan berhubung kejadian itu di Dewan Rakyat, esok.
“Perkara ini mengenai anak Ahli Parlimen Pandan yang baru diserang di pusat beli di Putrajaya.
“Ini adalah perkara yang penting kerana ia menggugat bukan saja Ahli Parlimen tetapi keluarga kita juga.
“Tugas utama kita di Parlimen ialah untuk memastikan keselamatan untuk negara dan Ahli Parlimen di sini, jadi kalau boleh saya minta budi bicara Tuan Speaker memberi sedikit petua dan mengarahkan menteri berkenaan untuk hadir esok pagi di Parlimen untuk memberi penerangan lanjut,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan anak lelaki Rafizi berusia 12 tahun didakwa diserang individu tidak dikenali secara fizikal.
Ketua Polis Daerah Sepang Norhizam Bahaman yang hadir ke hospital tempat kanak-kanak itu dirawat turut mengesahkan perkara itu.
Serangan didakwa berlaku di luar kawasan sebuah pusat beli-belah di Putrajaya, 1.30 tengah hari tadi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




