PM minta kes serangan anak Rafizi disiasat secara telus

PM minta kes serangan anak Rafizi disiasat secara telus

essabuyamin@bh.com.my

Kuala Lumpur: Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan sudah menghubungi Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bagi memastikan siasatan terhadap insiden serangan anak bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli dijalankan secara telus dan segera.

Menerusi hantaran pada akaun Facebook miliknya sebentar tadi, Perdana Menteri berkata, insiden itu adalah tindakan jahat dan khianat yang berlaku ketika negara masih berdepan isu gejala buli di sekolah.

“Kita masih belum reda dari gejala buli di sekolah, muncul pula satu lagi tindakan yang sangat dikesalkan. Mutakhir adalah percubaan jahat dan khianat terhadap anak Rafizi.

“Mendoakan kesejahteraan yang terbaik buat saudara Rafizi serta keluarga,” katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar mengesahkan berlaku kejadian serangan fizikal terhadap anak Rafizi di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya, jam 2 petang tadi.

Mangsa berusia 12 tahun itu bagaimanapun dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal.

Rafizi pula sebentar tadi mendedahkan anaknya diheret sebelum dicucuk dengan jarum suntikan secara tiba-tiba oleh seorang lelaki ketika berada di sebuah pusat beli-belah berkenaan.

Beliau dilaporkan berkata dalam kejadian kira-kira jam 1.45 tengah hari itu, anak dan isterinya sedang memasuki kereta untuk meninggalkan pusat beli-belah berkenaan apabila insiden berkenaan berlaku.

“Semakan menunjukkan dua lelaki menaiki sebuah motosikal mengekori kereta isteri saya. Pada hemat saya, mereka sudah merancang serangan itu lebih awal.

“Serangan itu membabitkan dua lelaki berpakaian hitam sepenuhnya dan bertopi keledar yang menutup muka keseluruhannya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top