Polis nasihat tidak sertai himpunan berkait isu bendera terbalik

Polis nasihat tidak sertai himpunan berkait isu bendera terbalik

am@hmetro.com.my

Kepala Batas: Polis Pulau Pinang menasihati semua pihak supaya tidak menyertai perhimpunan dipercayai berkaitan isu Jalur Gemilang terbalik yang didakwa akan diadakan di kawasan Bertam, di sini, petang esok.

Ketua Polis Negeri Datuk Azizee Ismail berkata, ia adalah demi keselamatan penduduk setempat dan menjaga ketenteraman awam.

“Pihak polis menggesa supaya semua pihak bersabar menunggu keputusan Pejabat Pendakwa Raya dan tidak mengambil tindakan yang boleh mencetuskan sebarang bentuk ketegangan.

“Mana-mana pihak yang melanggar undang-undang atau melakukan pecah keamanan, kekacauan, huru hara atau jenayah akan diambil tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Difahamkan, Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh bersama Pergerakan Pemuda UMNO negeri akan turun mengadakan satu himpunan pada 5 petang esok di Kepala Batas, namun tiada butiran lanjut didedahkan.

Bagaimanapun, terdapat dakwaan mengatakan himpunan ada kaitan dengan isu Jalur Gemilang dipasang terbalik yang dikatakan dalam usaha menyebar luas mesej perpaduan.

Mengulas lanjut, Azizee berkata, polis turut menjalankan siasatan terhadap individu yang merakam dan menyebarkan video berhubung insiden berkenaan.

Katanya, siasatan terhadap individu itu dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Setakat ini, terdapat 38 laporan polis diterima di seluruh negara berhubung insiden membabitkan 17 laporan di Pulau Pinang, manakala 21 laporan lagi di negeri lain.

“Kertas siasatan berhubung kejadian telah dilengkapkan dan dikemukakan kepada Pejabat Pendakwa Raya negeri semalam,” katanya.

Media pada Sabtu lalu melaporkan permohonan maaf pemilik premis perkakasan, di sini yang mengakui kesilapannya dalam pemasangan bendera negara sehingga mencetuskan rasa kurang senang masyarakat di seluruh negara.

Kes itu tular di media sosial dan siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top