Udine, Itali: Juara Eropah, Paris St Germain (PSG) bangkit daripada ketinggalan 0-2 untuk menjaringkan dua gol dengan baki lima minit untuk menewaskan juara Liga Europa, Tottenham Hotspur 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti dalam aksi dramatik Piala Super UEFA, awal pagi tadi.
Tottenham kelihatan bakal menghadiahkan kemenangan sulung kepada pengurus baharu, Thomas Frank sebelum pemain gantian PSG, Lee Kang-in merapatkan jurang pada minit ke-85 dan Goncalo Ramos menanduk masuk gol penyamaan empat minit dalam masa kecederaan untuk mengikat kedudukan 2-2.
PSG melengkapkan kebangkitan dalam penentuan sepakan penalti apabila Mathys Tel dan Micky van de Ven gagal menyempurnakan sepakan untuk Tottenham, manakala Nuno Mendes memastikan kemenangan dengan sepakan terakhir yang berjaya.
Pemain PSG membanjiri padang meraikan kejayaan, menyedari mereka mencipta sejarah sebagai kelab Perancis pertama menjulang trofi berkenaan.
“Ia sesuatu yang luar biasa untuk menang seperti ini. Pasukan ini sekali lagi menunjukkan semangat juang walaupun kami belum berada pada tahap fizikal terbaik,” kata pertahanan PSG, Marquinhos.
“Kami berjaya mendapatkan gol diperlukan melalui pemain gantian dan dalam penentuan penalti, kami mempunyai pemain yang menyempurnakan sepakan dengan baik serta penjaga gol yang membantu kami.”
Tottenham yang menamatkan saingan di tangga ke-17 Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu, mendahului selepas Van de Ven menjaringkan gol daripada bola muntah dan menggandakan kelebihan apabila Cristian Romero menanduk masuk menentang juara Perancis itu, yang memenangi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) pertama mereka pada Mei lalu dengan kemenangan besar 5-0 ke atas Inter Milan di final.
Lee menjaringkan gol dengan rembatan kemas selepas pasukannya menguasai babak akhir perlawanan sebelum Ramos menyambut hantaran silang tepat Ousmane Dembele dengan tandukan terbang untuk mengheret permainan ke penentuan sepakan penalti.
“Sukar untuk bercakap mengenai perlawanan ini. Kami hanya berlatih lima hingga enam hari, ia sesuatu yang luar biasa,” kata jurulatih PSG, Luis Enrique.
“Bagi kami, amat istimewa untuk memenangi trofi ini dan dapat menawarkannya kepada mereka.”
© New Straits Times Press (M) Bhd