SAINGAN Liga Malaysia (Liga-M) yang masuk perlawanan kedua mula menjadi bualan apabila para peminat disajikan aksi menarik Johor Darul Ta’zim (JDT) yang ‘lemas’ sebelum bangkit meraih kemenangan di laman sendiri ketika menewaskan Negeri Sembilan FC (NSFC) pada Selasa.
Dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri itu menyaksikan skuad Harimau Selatan ketinggalan 0-2 sebelum bangkit untuk mengatasi pasukan lawan 5-3.
Penganalisis Sukan, Datuk Dr Pekan Ramli melihat perkembangan tersebut daripada dua perspektif iaitu pengajaran berguna buat JDT dan lembaran baharu yang dipacu oleh NSFC.
“Ia satu perkembangan menarik buat arena bola sepak tempatan. Malah para peminat turut disajikan dengan satu corak permainan yang menghiburkan apabila lapan gol berjaya dihasilkan oleh kedua-dua pasukan,” katanya kepada Sukan Sinar.
Dalam aksi itu, Negeri Sembilan terlebih dahulu di depan menerusi jaringan Joseph Esso dan Jovan Motika sebelum JDT mengikat kedudukan hasil sentuhan Jon Irazabal dan Joao Figueiredo.
Irazabal kemudian menambah satu lagi jaringan buat JDT, manakala pemain sensasi, Arif Aiman Hanapi dan Bergson da Silva turut mencatat nama selaku penjaring, selain Motika turut meledak gol kedua peribadi dan jaringan ketiga Negeri Sembilan.
Pekan menjelaskan bahawa JDT mungkin tidak menjangkakan ketinggalan dua jaringan pada peringkat awal dan ia satu pembelajaran penting buat mereka.
Situasi tersebut katanya, disebabkan eksperimen skuad Harimau Selatan pada mulanya gagal apabila mahu cuba tenaga import baharu tanpa pemain tempatan dan pada masa sama mereka tidak menjangkan corak permainan agresif ditampilkan NSFC.
Malah beliau juga melihat kemasukan pemain sensasi, Arif Aiman Hanapi, Bergson da Silva dan Heberty banyak mengubah corak serta rentak permainan mereka.
“Kita tahu JDT akan buat ‘comeback’ dan menang perlawanan itu, namun selepas bolos dua jaringan, kita dapat lihat JDT agak panik. Kemudian mereka memasukkan beberapa pemain utama.
“Arif Aiman memainkan peranan penting dalam pasukan, mampu mengucar-kacir benteng lawan, mengubah rentak permainan, membuka jalan kepada rakan dan berupaya menghasilkan gol untuk membantu kemenangan JDT,” katanya.
Pekan turut melihat NSFC yang dibimbing Nidzam Jamil berjaya merangka strategi menerusi permainan terbuka, bukan mengambil pendekatan bertahan.
“Negeri Sembilan membuka perspektif baharu buat pasukan lain. Mereka berjaya memecah halangan berasa rendah diri apabila berjumpa JDT. Tidak perlu parkir bas dan tidak takut dibolosi.
“Kita harap pasukan lain tidak terlalu skeptikal dan berasa tidak mampu beri saingan kepada JDT.
“Beri cabaran sengit dan tiada siapa yang rugi (andai kalah) setelah pemain beri yang terbaik. Permainan terbuka dan main sahaja seperti biasa,” katanya.