Ibu kepada pelakon jelita, Anna Jobling iaitu Ariz Arop mendedahkan wujud campur tangan pihak ketiga antara punca utama anaknya mengambil tindakan mengeluarkan perintah injunksi terhadap dirinya sekaligus membuatkan hubungan mereka semakin renggang.
Menurut Ariz, Anna memfailkan perintah injunksi tersebut kerana mahukan kebebasan selain mendakwa perkara itu berlaku disebabkan dirinya terlalu dikawal oleh pihak pengurusan.
“Injunksi itu lebih kepada kebebasan. Pengurusan nak kawal dia. Banyak campur tangan orang ketiga,” katanya.
Perkara itu dikongsikan oleh Ariz menerusi sesi siaran langsung di TikTok pada Rabu.
Tambahnya lagi, selepas injunksi itu difailkan, dia hanya dibenarkan berjumpa dengan bintang filem Lembayung tersebut jika mendapat kebenaran daripada pihak pengurusan.
“Ketika injunksi keluar saya tak boleh dekat dengan dia. Kemudian sudah boleh, tapi bersyarat. Saya boleh jumpa kalau diizinkan. Saya kena merayu macam anak anjing,” jelasnya.
Enggan mengeruhkan keadaan, Ariz nekad mengundur diri dan tidak lagi mahu mencampuri urusan peribadi anaknya.
“Sebagai seorang ibu, sekarang saya cuba berundur selepas tak lagi diperlukan. Saya kena fikir untuk diri sendiri.
“Cuma sayang, macam saya, dah tiada mak… setiap kali ziarah pusara arwah, kalau boleh saya nak keluarkan dia sebab nak peluk dan cium. Walaupun Anna ada ibu, tapi dia buang saya. Siapa sangka, tapi ini ujian Allah,” luahnya sebak.
Sebelum ini, Ariz mendedahkan dia menerima perintah injunksi itu pada Disember tahun lalu dan hanya dibenarkan berada dalam jarak 100 meter daripada Anna.
Bagaimanapun, menerusi perbincangan peguam, perintah tersebut sudah terbatal namun Ariz masih tertakluk kepada beberapa syarat yang perlu dipatuhi.
Lebih menyentuh hati, Ariz turut meluahkan rasa kesal kerana dilayan seperti anjing kurap oleh anaknya, meskipun dia sudah berkorban harta demi kesenangan hidup pelakon popular itu.
Sumber: mStar