Dainese senjata Tudor kuasai laluan landai

Dainese  senjata Tudor kuasai laluan landai

aida_adilah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pakar pecut Itali, Alberto Dainese menjadi taruhan utama Tudor Pro Cycling Team untuk menguasai laluan landai pada edisi ke-28 Le Tour de Langkawi 2025 (LTdL25) yang akan berlangsung dari 28 September hingga 5 Oktober depan.

Pelumba berusia 27 tahun dari Abano Terme itu hadir dengan reputasi gemilang termasuk memenangi dua peringkat di Giro d’Italia pada 2022 dan 2023, selain satu peringkat di Vuelta a Espana 2023. Ini bakal menjadi penampilan sulungnya di LTdL.

Menariknya, Tudor tidak menyenaraikan Arvid de Kleijn, pemenang empat peringkat LTdL pada 2023 dan 2024 sekali gus memberi ruang kepada Dainese untuk mengisi peranan pakar pecut utama bagi memburu jersi oren Raja Pecut tajaan Kementerian Belia dan Sukan.

Ketua Pegawai Operasi PLTdL25, Emir Abdul Jalal, berkata pihaknya tidak pasti mengapa Tudor mengetepikan de Kleijn, namun kemasukan Dainese jelas menunjukkan kesungguhan pasukan Switzerland itu yang tampil buat kali ketiga berturut-turut untuk kembali menguasai saingan pecut.

“Arvid mempunyai peminat tersendiri di LTdL selepas menang dua peringkat pada 2023 dan meraih jersi Raja Pecut, malah mengulangi dua kemenangan peringkat tahun lalu. Namun dia gagal mempertahankan jersi itu yang dirampas Matteo Malucelli.

“Mungkin faktor itu mendorong Tudor membawa Dainese yang berpengalaman di Grand Tour, walaupun ini penampilan pertamanya di LTdL yang terkenal dengan cabaran cuaca ekstrem,” kata Emir.

Selain Dainese, Tudor turut menyenaraikan Robin Froideraux, Mika Heming, Mathys Rondel, Roland Thalmann dan Yannis Voisard. Froideraux dan Heming dijangka menjadi pembantu (leadout) Dainese dalam pecutan manakala Voisard menjadi taruhan dalam perebutan jersi hijau keseluruhan tajaan Petronas.

Voisard, 27, berpengalaman menyertai Giro bersama Arkea-Samsic pada 2021, selain memenangi Alpes Isere Tour 2022 dan pernah beraksi dalam perlumbaan klasik seperti Liege-Bastogne-Liege dan La Fleche Wallonie.

Dia akan mendapat sokongan Rondel dan Thalmann terutama di peringkat ketiga Gerik–Pasir Puteh sejauh 198.2km yang menampilkan pendakian kategori 1 dan 2 di Banjaran Titiwangsa.

“Tudor agak tenggelam dalam klasifikasi keseluruhan sebelum ini apabila pelumba terbaik mereka hanya berada di kedudukan ke-15 (2023) dan ke-12 (2024). Tahun ini, Voisard dilihat sebagai pertaruhan untuk jersi hijau Petronas dan jersi polka dot Raja Bukit,” jelas Emir.

LTdL25 yang berstatus ProSeries UCI Asia Tour akan merentasi 12 negeri di Semenanjung sejauh 1,243.5km, membabitkan 22 pasukan, tiga WorldTeam, lapan ProTeam, 10 Continental dan satu pasukan kebangsaan Malaysia. Perlumbaan akan bermula di Langkawi diikuti Padang Besar, Kepala Batas, Gerik, Pasir Puteh dan destinasi seterusnya sehingga penamat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top