'Kapal hantu' hanyut di Perairan Terengganu

'Kapal hantu' hanyut di Perairan Terengganu

am@hmetro.com.my

Kuantan: Kapal seberat hampir 300 tan dengan kesan terbakar ditemui hanyut berhampiran pelantar minyak di perairan Terengganu.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pahang, Laksamana Pertama Mazlan Mat Rejab berkata, kapal itu ditemui kira-kira empat batu nautika timur Pelantar Semangkok A, Terengganu, jam 4.45 petang, kelmarin.

Menurutnya, ketika dikesan kapal itu sedang hanyut melepasi kawasan pelantar minyak terbabit.

Katanya, keadaan itu memberi risiko kapal itu terlanggar pelantar minyak lain di kawasan berkenaan.

“Sejurus laporan diterima Maritim Malaysia melakukan siasatan termasuk tinjauan udara untuk mengesan lokasi kapal itu.

“Sebaik dikesan, Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) dikerah merapat kapal terbabit serta memasang tali tunda ke kapal itu jam 6.58 petang semalam.

“Kini kapal itu ditunda dan dijangka tiba di kawasan Pelabuhan Kemaman, Terengganu, esok,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Menurut Mazlan, pemeriksaan terperinci akan dilakukan termasuk aduan kemungkinan terdapat mangsa di dalam kapal itu sebaik tiba di Kemaman.

“Siasatan juga akan dilakukan untuk mengesan identiti dan pemilik kapal itu.” katanya.

Mazlan berkata, berdasarkan laporan awal, APMM tidak menolak kemungkinan “kapal hantu” itu mempunyai kaitan dengan insiden sebuah kapal tangki terbakar di perairan Tanjung Sedili, Johor, pada 7 Ogos lalu.

Dalam kejadian itu, seorang kru kapal warga Indonesia maut dan empat lagi cedera kecederaan.

Kejadian dilaporkan berlaku jam 6 petang, kira-kira 36 batu nautika timur Tanjung Sedili Kechil.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top