Ada pendapatan, tapi dua beranak tinggal rumah penuh sampah

Ada pendapatan, tapi dua beranak tinggal rumah penuh sampah

Tokyo: Seorang wanita dan anak perempuannya di Jepun tinggal dalam keadaan yang menyedihkan di sebuah rumah yang dipenuhi sampah selama bertahun-tahun, walaupun memperoleh pendapatan bulanan lebih 400,000 yen (kira-kira RM11,450), lapor South China Morning Post (SCMP).

Kisah mereka, Nachiko Tanaka, 83, dan anaknya Akane, 47, terbongkar selepas dipaparkan dalam sebuah rancangan aneka ragam Jepun yang merakam keadaan sebenar kediaman mereka.

Walaupun tidak bekerja tetapi dua beranak itu memiliki sebuah blok pangsapuri dengan tujuh unit yang mana mereka tinggal di empat unit pangsapuri itu, dan menyewakan unit selebihnya.

Selain itu, mendiang suami kepada wanita itu turut meninggalkan pencen.

Punca utama keadaan itu adalah selepas kematian bapa keluarga berkenaan yang menyebabkan kedua-duanya hilang arah tuju dan tidak mampu menguruskan diri sendiri.

Kehidupan mereka jauh berbeza berbanding dahulu yang mana mendiang bapa mereka yang bekerja dalam sektor pendidikan, di samping sering membawa keluarganya melancong dan menikmati kehidupan mewah.

Akane teringat kembali kenangan bahagia mereka dan berkata: “Ayah sangat mementingkan keluarga dan memasak untuk kami. Pembantu rumah pula menguruskan hal lain.”

Kini, mereka terpaksa bergantung kepada kemudahan luar seperti memesan makanan, mandi di tempat mandi awam dan menggunakan dobi layan diri.

Keadaan rumah mereka sangat teruk dengan pintu masuk dipenuhi kotak penghantaran yang belum dibuka, manakala ruang tamu dan dapur pula bertimbun dengan barangan serta makanan yang sudah tamat tempoh.

Pintu bilik tidur mereka juga tidak dapat dibuka sepenuhnya kerana dihalang oleh timbunan sampah sarap dan barangan yang tidak digunakan.

Menurut Nachiko, mereka terpaksa tidur di atas timbunan barangan di ruang tamu kerana bilik sudah tidak boleh dimasuki.

“Kami membeli apa yang kami suka tetapi tidak sempat menggunakannya. Apabila kami cuba membersihkannya, kami menjadi terlalu letih dan berputus asa,” jelasnya.

Anaknya, Akane, turut meluahkan rasa buntu mereka. “Bukannya kami tidak mahu berubah, kami cuma tidak tahu di mana harus bermula,” katanya.

Kisah mereka yang menyentuh perasaan itu menjadi tular dan mendapat perhatian meluas di media sosial dengan ramai yang berharap supaya mereka mendapatkan bantuan profesional.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top