9 Bulan Amal Gaya Hidup Sihat, Berat Badan Andi Bernadee Kini Cecah 46 Kg – “Tiada Kaitan Dengan Barang Terlarang & Perkara Mistik”

9 Bulan Amal Gaya Hidup Sihat, Berat Badan Andi Bernadee Kini Cecah 46 Kg – “Tiada Kaitan Dengan Barang Terlarang & Perkara Mistik”

“Bukan sebab dadah, atau amalan mistik… jangan kaitkan dengan benda itu”

Itu penegasan penyanyi dan pelakon, Andi Bernadee yang menolak dakwaan penurunan berat badan mendadaknya ada kaitan dengan pengambilan bahan terlarang atau amalan syirik.

Andi atau nama penuhnya Andi Azrul Andi Mapangile, 33, mendedahkan, hampir 20 kilogram ‘hilang’ daripada tubuhnya sejak sembilan bulan lalu adalah kesan daripada perubahan besar dalam rutin hidup dan cara pemakanan.

“Masa penggambaran drama Boleh Saya Bantu 2, saya perasan dagu dah berlapis, perut pula makin ke depan. Terus rasa tak selesa dan nekad nak ubah gaya hidup.

“Dulu saya makan enam kali sehari, sekarang hanya dua kali saja dengan kuantiti kecil dalam size hidangan kanak-kanak.

“Berat terkini saya 46 kilogram, itu pun masa saya baru timbang dua minggu lalu selepas kena keracunan makanan sampai cirit-birit,” katanya ketika ditemui pada sesi fotografi drama Tonton Original Me.N.U di Balai Berita, Bangsar, pada Khamis.

Pelantun Donde itu turut memaklumkan ramai yang terkejut melihat tubuhnya semakin susut, termasuk ahli keluarga sendiri sehingga mencetuskan kebimbangan mendakwa dirinya diuji dengan masalah kesihatan.

“Pengurus saya, Nasir Deraman orang pertama yang tegur. Lepas tu masa raya, ramai keluarga tanya saya sakit ke sebab nampak kurus sangat. Tapi saya tak kisah, yang penting sekarang saya boleh pakai semula baju-baju lama,” katanya.

Bagaimanapun, Andi berkata dia kini sedang berusaha untuk menambah berat badan sedikit supaya tidak kelihatan terlalu cengkung.

“Kalau boleh saya nak berat dalam 50 kilogram lebih, janji tak sampai 60. Sekarang saya pun kerap makan lewat malam untuk naikkan berat,” katanya.

Dalam perkembangan lain,  Andi bakal bergandingan dengan Nabila Razali membintangi Siri Tonton Original berjudul Me.N.U 10 episod yang mula ditayangkan pada 11 September ini.

Scroll to Top