BNM kekal unjuran KDNK 2025 pada 4.0-4.8 peratus ketika ketidakpastian rundingan tarif

BNM kekal unjuran KDNK 2025 pada 4.0-4.8 peratus ketika ketidakpastian rundingan tarif
BNM kekal unjuran KDNK 2025 pada 4.0-4.8 peratus ketika ketidakpastian rundingan tarif

Abdul Rasheed menyampaikan taklimat mengenai perkembangan ekonomi dan kewangan pada suku kedua 2025 di Sasana Kijang pada Jumaat. Foto Bernama

BANK Negara Malaysia (BNM) mengekalkan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi 2025 antara 4.0 peratus hingga 4.8 peratus, dengan mempertimbangkan pelbagai kemungkinan daripada rundingan tarif.

Gabenor BNM, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, bank pusat telah memberikan jangkaan tarif antara 25 peratus hingga 30 peratus ketika rundingan tarif dengan Amerika Syarikat (AS).

“Tidak perlu untuk kami menyemak semula angka pertumbuhan ini. Dari segi keseimbangan pertumbuhan risiko dan keuntungan, selesainya rundingan ini meredakan ketidakpastian.

“Bagaimanapun, masih ada ketidakpastian yang berlarutan. Sebagai contoh, dari segi tarif sektoral dan perkembangan perbincangan serta rundingan dengan beberapa negara yang masih belum dimuktamadkan,” katanya kepada pemberita selepas mengumumkan pertumbuhan ekonomi suku kedua Malaysia di sini pada Jumaat.

Pada awal bulan ini, AS mengenakan pengurangan tarif sebanyak 19 peratus ke atas import Malaysia berkuat kuasa 1 Ogos 2025.

Kadar timbal balas yang disemak ini adalah lebih rendah berbanding 25 peratus yang dijadualkan sebelumnya. – Bernama

 

 

Scroll to Top