Polis serbu makmal dadah, 3 ditahan

Polis serbu makmal dadah, 3 ditahan

am@hmetro.com.my

Nibong Tebal: Polis menyerbu sebuah rumah di Taman Tambun Permai, di sini yang dijadikan makmal memproses dadah jenis heroin pada Selasa lalu.

Tiga lelaki termasuk seorang warga Sri Lanka ditahan dalam serbuan jam 4.30 petang itu, manakala lebih 1.1 kilogram (kg) dadah dipercayai heroin serta 30 kg kafien dirampas untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Jay January Siowou berkata, serbuan dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang.

“Dalam serbuan itu, polis menahan dua lelaki warga tempatan bersama 1.1 kg dadah jenis heroin, heroin base (0.64 kg), kafein (4 kg) dan beberapa peralatan dan bahan kimia disyaki untuk memproses dadah.

“Soal siasat terhadap suspek kemudian membawa kepada penahanan seorang lelaki warga Sri Lanka bersama 26 kg kafien, jam 5.04 petang di lokasi berhampiran,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, suspek utama mengaku dia memproses dadah heroin, manakala dua lagi bertindak sebagai penghantar dadah dan bahan kimia.

“Siasatan lanjut mendapati sindiket ini bergiat aktif sejak Januari lalu dan semakan mendapati dua suspek warga tempatan mempunyai rekod lampau berkaitan dadah serta jenayah, manakala warga Sri Lanka tiada rekod.

“Ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap kesemua suspek berusia 25 hingga 46 tahun yang ditahan bagaimanapun negatif dadah,” katanya.

Jay January berkata, polis turut menyita empat kenderaan iaitu Toyota Vellfire, Honda Civic dan dua motosikal jenis Yamaha LC135 bernilai RM134,500.

“Keseluruhan rampasan dadah dan kenderaan dalam serbuan ini dianggarkan bernilai RM209,000.

“Suspek direman selama tujuh hari sehingga 19 Ogos depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top