am@hmetro.com.my
Kota Kinabalu: Padang Merdeka Kota Kinabalu menjadi saksi solidariti rakyat Sabah, khususnya dari sekitar ibu negeri untuk sama-sama menyuarakan keadilan, Justice for Zara buat Allahyarham Zara Qairina Mahathir pada malam ini.
Rakyat Sabah di bandar raya ini, tanpa mengira latar belakang tidak mahu ketinggalan dalam usaha menuntut keadilan untuk Zara Qairina yang meninggal dunia selepas ditemukan tidak sedarkan diri di halaman bangunan asrama sekolahnya pada 16 Julai lalu.
Sejak itu, insiden yang menimpa pelajar Tingkatan Satu itu menerima simpati pelbagai pihak yang mahu pihak berkuasa menyiasat kes kematiannya dengan sebaik mungkin bagi mencari kebenaran yang menjurus kepada kejadian tragik itu.
Himpunan solidariti bermula jam 7 malam itu menyaksikan ribuan peserta berpakaian hitam memenuhi padang ini sambil membawa sepanduk dan kain rentang bertulis Justice for Zara.
Poster wajah Zara Qairina turut memenuhi sekitar Padang Merdeka hasil inisiatif individu serta NGO yang bersama-sama menyuarakan keadilan untuk Allahyarham.
Kematian Zara Qairina membangkitkan gelombang kebangkitan rakyat di seluruh negeri dan tanah air.
Melalui media sosial dan himpunan solidariti, suara rakyat bergema menuntut keadilan bagi arwah selain menegaskan bahawa setiap pelajar berhak hidup, belajar dan membesar dalam persekitaran yang selamat.
Sepanjang perhimpunan, polis ditempatkan di lokasi bagi memastikan keselamatan orang ramai yang hadir.
© New Straits Times Press (M) Bhd