Azlan Komeng, Nilam fail saman

Azlan Komeng, Nilam fail saman

mohamadridzuan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pasangan selebriti dan personaliti media sosial, Nur Nilam Ortiz dan Azlan Komeng, memfailkan saman fitnah terhadap individu yang dikenali sebagai Cik Pia, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Tindakan terbabit diambil selepas Cik Pia atau nama sebenarnya Norsufia Johari didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah dan provokasi di media sosial.

Nilam dan Azlan menerusi kenyataan media berkata, kenyataannya sudah mencemar nama baik, reputasi profesional dan menjejaskan kerjaya seni mereka serta mengganggu emosi dan mental Nilam yang kini sedang sarat mengandung.

Menurut dokumen mahkamah, kenyataan yang dibuat oleh Cik Pia didakwa mengandungi fitnah, tuduhan melampau, provokatif, manipulasi dan buli siber yang menyebabkan Nilam mengalami tekanan emosi lebih-lebih lagi dalam keadaan hamil.

Peguam dari Tetuan Kung, Yudhist, Anis, Rasyid, Aziana & Co yang mewakili mereka berkata, selain reputasi perniagaan pasangan ini yang turut terjejas, perjalanan karier seni Azlan Komeng sendiri turut terkesan akibat daripada isu ini.

“Plaintif menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan serta injunksi bagi menghalang Defendan daripada terus mengeluarkan kenyataan fitnah yang sama atau seumpamanya,” katanya.

Peguam berkata, bagaimanapun ketika serahan saman dilakukan, ia tidak dapat diserahkan akibat daripada alamat premis-premis yang diketahui Cik Pia tidak berpenghuni termasuk premis syarikat yang diwakili Cik Pia disyaki tidak lagi beroperasi,

Perkara ini juga turut disahkan oleh peniaga setempat di mana kilang terbabit sudah tidak beroperasi dan dalam proses pemindahan.

Sementara itu, tarikh pengurusan kes sudah ditetapkan oleh Mahkamah Tinggi pada September nanti.

Terdahulu Cik Pia yang mewakili syarikat MSH Empire Resources dalam sidang media pada 1 Julai lalu nekad untuk mengambil tindakan undang-undang dengan menghantar surat tuntutan (Letter of Demand) kepada Nilam dan Azlan Komeng, yang menuntut permohonan maaf secara terbuka dan bayaran ganti rugi berjumlah RM1 juta dari mereka.

Menurut Cik Pia, dia dan syarikat terkesan dengan dakwaan pasangan terbabit yang sudah mencemar nama baik, memberi kesan langsung terhadap jualan produk dan reputasi perniagaan.

Menurutnya, syarikat sudah difitnah secara terbuka, dituduh menjual produk berbahaya dan reputasi syarikat dan sebagai usahawan diganggu dengan niat yang jelas untuk menjatuhkannya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top