Terserempak tali barut komunis

Terserempak tali barut komunis

am@hmetro.com.my

Tanah Merah: Pertemuan secara tidak sengaja dengan seorang tali barut komunis yang membawa beg galas berisi bekalan makanan dan ubatan termasuk dadah untuk dihantar ke kem pengganas menjadi detik tidak dapat dilupakan Pegawai Waran II (B) Mohd Nor Latif, 75, ketika menyertai operasi khas di Bukit Chamang, Bentong pada 1975.

Menurut Mohd Nor, dia bersama empat lagi anggota pasukan dari Rejimen Gerak Khas menjalankan operasi penggeledahan di kawasan berbukit yang dikenal pasti menjadi laluan utama kumpulan pengganas komunis.

“Kami bergerak dalam kumpulan kecil dan ketika meredah hutan, seorang daripada kami ternampak seorang lelaki memikul beg galas. Hati kami kuat mengatakan individu berkenaan adalah tali barut komunis lalu menahannya untuk di soal siasat.

“Pada ketika itu, kami berharap dia tidak bersenjata kerana keadaan waktu itu cukup mencemaskan.

“Selepas disahkan sebagai tali barut komunis, kami menembaknya atas faktor keselamatan dan bagi mengelakkan sebarang cubaan melarikan diri atau ancaman lain,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Blok Ulu Kusial.

Menurutnya, mereka menunggu lebih empat jam bersama mayat komunis itu sebelum bantuan helikopter tiba untuk membawa keluar mayat dan pada masa sama bersiap sedia menghadapi kemungkinan serangan balas pengganas.

“Lokasi Bukit Chamang pada ketika itu antara kawasan panas yang sering menjadi laluan dan tempat persembunyian pengganas komunis.

“Disebabkan keadaan itu, saya bersama anggota dalam pasukan bergerak dalam formasi taktikal bagi mengelakkan jerangkap samar dan serangan hendap daripada komunis,” katanya.

Menurutnya, jerangkap samar dipasang komunis menggunakan denai buluh duri hutan yang dikenali ranjau darat dan ancaman itu melambatkan pergerakan pasukan sehingga kadang kala perjalanan sejauh satu kilometer mengambil masa sehari untuk sampai ke lokasi seterusnya.

“Setiap pergerakan kami pada waktu itu memerlukan perancangan teliti termasuk memilih tempat berbeza untuk makan dan tidur bagi mengelak dikesan musuh di sekeliling kami.

“Kebiasaannya, komunis suka menyerang antara jam 12 hingga 1 tengah hari kerana mereka tahu anggota berhenti makan. Jadi kami ubah taktik iaitu makan dan tidur di tempat berbeza untuk mengelirukan musuh,” katanya.

Bapa lapan anak serta datuk 30 cucu itu berkata, insiden di Bukit Chamang menjadi antara operasi penting memperlihatkan keberanian dan kepantasan bertindak anggota komando negara dalam mempertahankan kedaulatan tanah air daripada anasir pengkhianat yang bersekongkol dengan komunis.

Katanya, dia menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 1968 menerusi Rejimen Askar Melayu Diraja sebelum dipilih menyertai Rejimen Gerak Khas yang ketika itu adalah pasukan elit yang dianggap tidak boleh ditandingi.

“Saya kemudian diberikan peluang mengikuti kursus khas ketenteraan selama enam bulan di Indonesia pada 1971 bersama 100 anggota lain, namun hanya 40 orang lulus latihan intensif darat, laut dan udara yang memfokuskan kepada teknik peperangan gerila dan survival ekstrem.

“Selepas tamat kursus ketenteraan di Indonesia, saya pulang ke tanah air dan menyambung latihan selama tiga bulan di Sungai Udang, Melaka untuk mendapatkan pentauliahan sebagai anggota komando,” katanya.

Katanya, sepanjang perkhidmatannya, dia menyertai lebih 20 operasi ketenteraan termasuk Ops Gubir, Ops Gonzales, dan Ops Indera selain pernah dianugerahkan beret merah dan hijau.

“Saya menamatkan perkhidmatan pada 1988 selepas berbakti selama 20 tahun dalam dunia ketenteraan. Malah jasa serta pengorbanan saya turut mendapat pengiktirafan apabila dikurniakan Pingat Jasa Malaysia, Pingat Perkhidmatan Setia dan Pingat Peringatan Am oleh Kementerian Pertahanan (MINDEF),” katanya.

Mohd Nor berharap kisah perjuangannya menjadi inspirasi kepada anak muda agar tidak melupakan jasa pejuang terdahulu yang membuka jalan kepada kemakmuran negara yang dikecapi hari ini.

“Saya bertugas bukan kerana nama, tetapi kerana tanah air. Apa yang saya lalui adalah demi memastikan generasi kini bebas dari penjajahan dan ancaman ideologi luar.

“Malah, saya juga tumpahkan darah dan keringat demi negara. Kini tiba masa generasi muda pula membina kemahiran dan mempertahankan kedaulatan negara daripada anasir luar.

“Ancaman terhadap kemerdekaan mungkin berbeza hari ini, tetapi semangat cintakan tanah air perlu terus dipupuk. Komunis adalah lambang kepada mereka yang tidak suka kita merdeka dan jika kita lalai, kebebasan boleh tergadai,” tegasnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top