Liverpool: Dua gol Liverpool yang dijaringkan Mohamed Salah dan Federico Chiesa memastikan juara bertahan Liga Perdana Inggeris (EPL) dilandasan tepat mempertahankan trofi selepas menewaskan Bournemouth 4-2 pada aksi pembukaan penuh dramatik di Anfield sebentar tadi.
Biarpun mendahului dua gol di awal permainan, Bournemouth bingkas bangkit dengan menyamakan kedudukan 2-2 sebelum Salah dan Chiesa meledak untuk memastikan tiga mata penuh buat The Reds.
Pengendali Liverpool, Arne Slot nyata lega sambal menyifatkan gol Chiesa sebagai sebagai sesuatu yang istimewa.
“Hebat. Dia (Chiesa) dimasukkan pada penghujung perlawanan kerana kami perlukan gol. Untuk dia menjaringkan gol pada saat sebegitu memang istimewa.
“Ia lebih bermakna kerana penyokong sentiasa menyokongnya. Bagus apabila dia membalas dengan gol yang hebat,” kata Slot.
Dalam aksi itu, Liverpool bermula cemerlang dengan mendahului 2-0 hasil jaringan pemain baharu, Hugo Ekitike pada minit ke-37 sebelum Cody Gakpo menggandakan kedudukan pada minit ke-49.
Bagaimanapun Bournemouth bangkit menerusi Antoine Semenyo, yang menjadi mangsa penghinaan berbaur perkauman pada separuh masa pertama sehingga perlawanan terhenti seketika, apabila menjaringkan gol pada minit ke-64 dan menyempurnakan gol keduanya 12 minit kemudian untuk mengejutkan penyokong tuan rumah.
Chiesa memastikan tuan rumah kembali di depan ketika permainan berbaki dua minit dan Salah memastikan kemenangan dengan jaringan dalam masa kecederaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd