Dua wakil negara disandar layak final Kejohanan Dunia

Dua wakil negara disandar layak final Kejohanan Dunia

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) meletakkan sasaran ‘tidak rasmi’ sekurang-kurangnya dua wakil negara layak ke pentas final Kejohanan Dunia di Paris yang berlangsung pada 25 hingga 31 Ogos ini.

Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, beliau optimis bahawa setiap wakil di Paris itu mampu menampilkan prestasi cemerlang untuk mendapatkan kejuaraan terutama beregu lelaki negara, Aaron Chia–Soh Wooi Yik dan beregu wanita negara, Pearly Tan–M Thinaah.

Tambahnya, keyakinan itu hadir berdasarkan prestasi semasa mereka selepas berjaya meraih kejuaraan musim ini selain kedua-dua beregu negara itu kini berada di kedudukan kedua dunia.

“Kita tak ada sasaran rasmi untuk mereka tetapi sudah pasti kami mempunyai jangkaan yang sangat tinggi untuk setiap pemain kerana ia berdasarkan ranking semasa.

“Saya fikir mereka boleh memberikan persembahan cemerlang kerana ranking mereka sangat tinggi dan paling kurang, beregu lelaki negara (Aaron–Wooi Yik) melangkah ke final. Itu kalau kita lihat dari segi ranking dan saya berharap mereka boleh lakukannya. Ini adalah pandangan peribadi saya dan bukan daripada BAM.

“Sama juga seperti Pearly–Thinaah kerana mereka pun sekarang nombor dua dunia. Ranking bagus dan mereka perlu cuba untuk menang kali ini,” katanya selepas Mesyuarat Ahli Majlis BAM, di Bukit Kiara, di sini, hari ini.

Pada kejohanan di Paris itu nanti, berdasarkan undian yang dijalankan baru-baru ini, bekas juara dunia, Aaron–Wooi Yik dilihat bakal berdepan tugas berliku untuk mengulangi pencapaian mereka pada 2022 di Tokyo, Jepun.

Cabaran getir dijangka menanti mereka bermula di suku akhir apabila akan bertemu sama ada naib juara Olimpik Paris 2024 dari China, Liang Wei Keng–Wang Chang atau gandingan utama India, Satwiksairaj Rankireddy–Chirag Shetty sebelum berdepan rakan senegara, Sze Fei–Izzuddin di separuh akhir.

Sementara itu, Pearly–Thinaah pula diramalkan akan turun menentang wakil Hong Kong, Lui Lok Lok–Tsang Hiu Yan di pusingan kedua sebelum wakil Indonesia, Lanny Tria Mayasari–Siti Fadia Silva Ramadhanti menanti mereka di pusingan ketiga.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top