Kangar: Kementerian Komunikasi terus menyantuni bekas pengamal media yang berdepan masalah kesihatan dengan menyampaikan sumbangan menerusi Tabung Kasih@Hawana kepada dua lagi penerima di Perlis pada edisi kali ini.
Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Komunikasi Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa menyerahkan sumbangan berkenaan kepada bekas pemberita sambilan dan jurufoto China Press, Abdul Karim Ahmad, 72, yang menghidap penyakit kencing manis di Kampung Guar Syed Alwi di sini, hari ini.
Turut hadir pada majlis penyerahan itu Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Bernama merangkap Pengarah Projek Arul Rajoo Durar Raj.
Terdahulu pada Jumaat, Nur-ul Afida menyampaikan sumbangan kepada bekas pemberita sambilan Berita Harian, Mohd Rashidi Abd Karim, 59, yang menghidap penyakit batu karang di buah pinggang.
Inisiatif dilaksanakan kementerian menerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sempena Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2023 itu merupakan simbol keprihatinan Kerajaan MADANI dalam mengetengahkan nilai ihsan, empati dan penghargaan terhadap peranan media.
Kedua-dua bekas pengamal media berkenaan turut menerima bendera sempena Kempen Satu Rumah Satu Jalur Gemilang bagi sambutan Hari Kebangsaan ke-68.
Sementara itu, Mohd Rashidi ketika ditemui selepas majlis sumbangan berkenaan mengucapkan terima kasih atas keprihatinan Kementerian Komunikasi dan Bernama terhadap kebajikannya sebagai bekas pengamal media.
Beliau berkata, penyampaian sumbangan itu memberikan kegembiraan kepadanya kerana berasa dihargai sekali gus mengiktiraf peranannya sepanjang menjadi pemberita sambilan dari 1989 hingga 2015.
Abdul Karim yang juga bekas wartawan Utusan Malaysia sekitar 1980-an pula berkata sumbangan Tabung Kasih@Hawana merupakan penghargaan besar buat ‘orang lama’ sepertinya.
“Sekarang saya dah tak buat apa-apa kerja lagi sejak berhenti sepenuhnya pada 2016. Kesihatan pun semakin tidak berapa baik dan ingatan pun dah kurang,” kata bapa kepada empat anak itu.
Sehingga kini, seramai 478 pengamal media di seluruh negara menerima manfaat daripada Tabung Kasih@Hawana.
© New Straits Times Press (M) Bhd