Sapa tawan hati

Sapa tawan hati

hafizithnin@mediaprima.com.my

Perjalanan dari Kuala Lumpur ke destinasi yang cukup popular di Vietnam itu mengambil tempoh hampir separuh hari nyata menemui kepuasan buat pasangan suami isteri, Abdul Muhaimin Azinudin, 25, dan Nur Husna Ridzuan, 31.

Dari Kuala Lumpur ke Hanoi menaiki pesawat kira-kira tiga jam penerbangan, pasangan itu kemudian perlu mengambil bas ke Sapa kira-kira lima jam perjalanan lagi. Mereka tiba di Sapa kira-kira jam enam petang waktu tempatan.

Abdul Muhaimin berkata, sebenarnya dia dan isteri sudah lama merancang untuk menjadikan Sapa sebagai destinasi bulan madu kerana ia cukup terkenal sebagai satu destinasi yang unik di Vietnam.

Jelasnya, di kawasan tanah tinggi itu mempunyai sebuah pekan lama, tetapi sudah dimajukan kerajaan Vietnam kerana mendapat perhatian ramai pelancong antarabangsa.

“Sebenarnya kami bertolak ke Vietnam selepas dua hari mendirikan rumah tangga pada April lalu dan ketika itu saya yang bekerja di sebuah agensi pelancongan di

Malaysia mendapat tugasan ke Sapa.

“Selain itu, isteri saya juga sebelum berkahwin berminat menjadikan Sapa sebagai destinasi bulan madu kami. Jadi, apabila saya tamat bekerja, saya menyambung pula percutian bersama isteri di Sapa,” katanya.

Katanya, meskipun ramai pengembara yang ingin ke Sapa menggunakan perkhidmatan kereta api, tetapi mereka memilih untuk menaiki bas kerana ia lebih menjimatkan masa.

“Jika menggunakan perkhidmatan kereta api tempoh perjalanan adalah satu malam. Sebenarnya pengembaraan menaiki kereta api lebih menarik, tetapi kami ingin menjimatkan masa untuk ke Sapa dengan lebih cepat.

“Bagaimanapun, menggunakan perkhidmatan bas juga tidak kurang menariknya kerana dalam perjalanan ke Sapa dari Hanoi kami melalui beberapa kampung menawarkan pemandangan sawah padi cukup memukau,” katanya.

Jelasnya, harga untuk menaiki bas ke Sapa dari Hanoi dijual pada harga sekitar RM60 seorang. Manakala jika menaiki kereta api yang mempunyai katil dikenakan harga kira-kira RM92 seorang.

“Sebenarnya untuk pelancong yang menaiki bas ada juga kemudahan katil, tetapi kami memilih untuk mengambil perkhidmatan bas yang hanya menawarkan tempat duduk kerana perjalanan tidak terlalu lama.

“Dalam bas juga boleh dikatakan agak selesa dan mempunyai perkhidmatan WiFi secara percuma kepada penumpang,” katanya.

Usai lima jam perjalanan menaiki bas ke Sapa, akhirnya pasangan suami isteri itu tiba di destinasi itu. Lebih menarik, bas berkenaan berhenti di hadapan tempat mereka menginap.

“Kami sudah merancang untuk berada di Sapa selama empat hari. Sebenarnya jumlah hari kami di Vietnam selama 10 hari iaitu termasuk aktiviti di Hanoi dan Ha Long Bay.

“Di Sapa pada hari pertama, kami hanya menginap di hotel kerana tiba di sana pada jam enam petang dan sudah pun gelap. Di sini, malamnya lebih awal,” katanya.

Katanya, ketika tiba di Sapa keadaan sekitar agak berkabus dan dingin mencecah kira-kira 20 darjah Celcius. Malam itu, mereka hanya berehat kerana pada pada jam 7 pagi esoknya perlu bersiap untuk memulakan pendakian ke Gunung Fansipan.

“Saya dan isteri gemarkan aktiviti mendaki. Jadi, di Sapa ini adalah destinasi untuk mendaki ke gunung paling tertinggi di Vietnam iaitu Gunung Fansipan, 3,143 meter dari aras laut.

“Gunung ini juga agak terkenal kerana ia berkongsi sempadan dengan dua negara lain iaitu Laos dan China. Selain itu, gunung ini juga diberi jolokkan bumbung Indo-China,” katanya.

Seawal jam 7 pagi waktu tempatan, pasangan itu sudah bersiap untuk memulakan pendakian ke gunung berkenaan yang mengambil masa lapan jam ke kem dua. Kemudian perlu meneruskan pendakian ke puncak yang mengambil masa lima jam pendakian.

“Sepanjang pendakian laluan mencanak dan cuaca dingin menjadi peneman. Namun, ia bukan suatu cabaran besar untuk kami sampai ke kem dua pada jam 4 petang dan bermalam di destinasi itu.

“Pada jam 2 pagi kami meneruskan pendakian terus ke puncak gunung berkenaan dan pada jam 7 pagi, titik tertinggi gunung Fansipan berjaya kami tawan,” katanya.

Katanya, ketika tiba di puncak gunung itu, tidak mempunyai pemandangan kerana ia ditutupi kabus yang agak tebal dan situasi semasa juga hujan.

“Kami agak kedinginan ketika tiba di puncak kerana cuaca hujan. Malah, angin yang kuat juga seolah-olah ribut melanda di kawasan puncak gunung berkenaan.

“Namun, kami puas kerana dapat bersama-sama menawan puncak Gunung Fansipan meskipun berdepan cuaca yang agak buruk,” katanya.

Jelasnya, sebenarnya untuk ke gunung berkenaan pelancong boleh menggunakan perkhidmatan kereta kabel. Namun, mereka memilih untuk mendaki ke puncak dan turun menggunakan perkhidmatan pengangkutan itu.

“Selesai mendaki gunung, pada keesokan harinya kami mengambil peluang bersiar-siar di sekitar Sapa yang mempunyai pelbagai tarikan antaranya Cat Cat Village iaitu sebuah kampung budaya lama yang mempunyai sejarahnya tersendiri.

“Di Cat Cat Village sememangnya unik kerana ia bukan sahaja mempunyai sejarah masyarakat Sapa, malah pemandangan hijau dengan air terjun seperti lukisan semula jadi antara tarikannya,” katanya.

Jelasnya, dia dan isteri juga mengambil kesempatan untuk mengenakan busana tradisional masyarakat H’mong yang mendiami kawasan berkenaan.

“Di Sapa ini segala kawasan tarikan boleh dikunjungi hanya berjalan kerana ia terletak di kawasan yang berdekatan antara satu sama lain.

“Malah, ada perkhidmatan motosikal yang boleh disewa pelancong untuk menerokai kawasan di sekitar Sapa pada harga RM30 sehari,” katanya.

Jelasnya, pengembaraan dia dan isteri ke Sapa sememangnya amat berbaloi meskipun perlu melalui perjalanan yang panjang dari Kuala Lumpur kerana di destinasi itu mempunyai tarikan budaya dan alam semula jadi yang memukau.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top