Pelakon Hariz Hamdan menjelaskan video bersama Datin Nelydia Senrose yang dikongsikan di media sosial dibuat selepas mendapat kebenaran daripada aktres berkenaan.
Menurut Hariz, dia terlebih dahulu meminta persetujuan Nelydia sebelum memuat naik klip yang dirakam ketika penggambaran drama bersiri Seindah Hujan Cinta kerana menghormati kedudukan bintang jelita itu yang sudah berumah tangga.
“Sebelum video itu dikongsikan di media sosial, saya ada hubungi Nelydia. Sudah tentu saya perlu hormati statusnya sebagai isteri. Saya tanya sama ada boleh kongsi video itu dan dia kata tiada masalah,” ujarnya.
Hariz turut menegaskan perkongsian berkenaan sekadar bertujuan menghiburkan peminat serta merakam pengalaman sepanjang penggambaran drama Seindah Hujan Cinta di Langkawi.
“Itu antara detik lucu dan menyeronokkan yang saya rasa boleh dikongsikan dengan peminat. Tidak lebih daripada itu. Tujuan saya bukan untuk kejar viral, hanya nak kongsi pengalaman dan momen menarik ketika shooting,” jelasnya.
Tambah Hariz, hubungannya dengan Nelydia tidak lebih daripada sekadar rakan sekerja yang mesra, malah dianggap seperti kakak dan adik selepas banyak meluangkan masa bersama di set penggambaran.
“Dalam insiden kereta kabel itu pun sebenarnya minggu terakhir bersama team produksi. Kami memang sudah rapat, dia layan saya macam adik dan saya hormati dia macam kakak,” katanya.
Bagaimanapun, Hariz tetap memohon maaf jika ada pihak yang tersinggung dengan perkongsian video tersebut.
“Saya faham mungkin ada yang salah tafsir. Saya tak salahkan mereka. Dari pihak saya, ingin minta maaf sekiranya ada yang terasa hati atau kurang senang,” ujarnya lagi.
Aktor itu juga menyifatkan isu yang timbul sebagai peringatan untuk lebih berhati-hati pada masa hadapan.
@xtra_my Nelydia Senrose gayat sangat tuu #nelydiasenrose #xtramy #xtratonton ♬ original sound – XTRA
“Bagi saya, ini satu pengajaran. Niat saya bukanlah untuk menyinggung sesiapa. Kalau ada yang rasa tidak sesuai, saya ambil ia sebagai iktibar,” katanya.
Terdahulu, Hariz pernah membuat permohonan maaf secara terbuka selepas tular rakaman memaparkan Nelydia secara tidak sengaja memeluk lengannya ketika mereka menaiki kereta kabel di Langkawi.
Dalam perkembangan lain, drama bersiri lakonan Hariz dan Nelydia, Seindah Hujan Cinta kini sedang hangat ditayangkan di Tonton.
Selain Hariz, drama bersiri Seindah Hujan Cinta drama bersiri terbitan Country and Universal Sdn Bhd ini turut dibintangi oleh Yusuf Bahrin, Ezzanie Jasny dan ramai lagi.
Diarahkan oleh Nizam Zakaria, naskhah adaptasi novel nukilan Qash Shazwani ini bersiaran di Tonton bermula 21 Julai 2025.