am@hmetro.com.my
Putrajaya : “Saya pernah tengok kes buli depan mata di sekolah dulu. Bila saya cuba pertahankan kawan, saya pula yang kena lempang sampai terjatuh,” kata Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Syed Saddiq berkata demikian ketika berkongsi pengalaman dirinya pernah menjadi mangsa buli ketika menuntut di sebuah sekolah sebelum ini.
Syed Saddiq berkata, kejadian buli itu berlaku ketika dia menuntut di sebuah sekolah tentera dan membuat persiapan untuk mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Saya ada kongsikan (kejadian buli) dalam buku saya dan disahkan oleh kawan-kawan di sekolah ketika itu.
“Saya dulu sekolah tentera tapi saya bukan orang yang berdiam diri sebab itu bila kejadian buli berlaku depan mata sendiri waktu nak SPM, saya ambil tindakan dan bukan berdiam diri sampai saya pulak yang kena lempang.
“Mungkin orang tengok saya bersukan sekarang tapi dulu (zaman sekolah) badan saya kecil dan saya ‘nerd’ (ulat buku),” katanya kepada Harian Metro.
Terdahulu, Syed Saddiq ditemui pada sidang media pengumuman pencapaian Thong Bowl dalam ASEAN Book of Records sebagai pengiktirafan pencapaian luar biasa dalam industri makanan halal di pusat beli-belah IOI City Mall di sini, kelmarin.
Hadir sama, penyanyi dan pelakon, Bella Astillah.
Mengenai kes buli lagi, kata Syed Saddiq, dia berkongsi kejadian buli di sekolah dulu bukan untuk menyimpan dendam pada pelaku terbabit.
“Saya mahu memastikan sekolah itu adalah institusi yang selamat. Bayangkan, ibu bapa sekarang kalau culas dan cuai dalam tanggungjawab untuk menjaga anak sampai anak cedera boleh diambil tindakan jenayah,” katanya.
Menurutnya lagi, ibu bapa menghantar anak-anak ke sekolah dengan harapan cikgu akan menjadi ibu bapa yang kedua sebab itu kita harus menghormati institusi sekolah itu sendiri.
© New Straits Times Press (M) Bhd