Beijing: Seorang ibu di Beijing, China, menyaman anak perempuannya bagi menuntut semula wang pampasan sebanyak 4.9 juta yuan (kira-kira RM3.18 juta) yang pernah diberikan kerana berhenti kerja untuk menjaganya..
Tindakan saman itu difailkan selepas mereka bertelingkah mengenai tunggakan sewa rumah.
Menurut South China Morning Post, kes bermula pada 2021, apabila si ibu yang dikenali sebagai Jin, meminta anaknya, Lu, meletak jawatan di Guangzhou dan pulang ke Beijing berikutan masalah kesihatan yang dialaminya.
Sebagai ganti rugi kehilangan pendapatan, Jin memindahkan hasil jualan sebuah pangsapuri bernilai 4.9 juta yuan (kira-kira RM3.18 juta) kepada Lu.
Pada 21 Disember 2023, perjanjian bertulis dimeterai menyatakan Lu perlu menanggung semua kos penjagaan ibu termasuk perubatan, sewa rumah, sara hidup dan pengebumian.
Lu kemudian menggunakan wang berkenaan untuk membeli hartanah miliknya sendiri.
Namun, selepas hampir empat tahun menjaga ibunya, konflik tercetus apabila Jin yang tinggal di rumah jagaan selama lima bulan dan ditanggung Lu, mahu berpindah ke rumah sewa di kawasan Shangzhuang, Beijing.
Difahamkan, Lu didakwa gagal membayar sewa rumah berkenaan bagi suku kedua dan ketiga rumah itu kerana menuntut agar ibunya memulangkan semula yuran rumah jagaan sebanyak 200,000 yuan (kira-kira RM129,800) untuk digunakan sebagai bayaran sewa.
Susulan itu, Jin mengambil tindakan undang-undang menuntut perjanjian dibatalkan dan memohon anaknya memulangkan semula wang pampasan (4.9 juta yuan) itu.
Dalam pembelaannya, Lu mendakwa dia sudah menunaikan tanggungjawab dengan menyediakan makanan, pakaian, membayar sewa rumah lain dari 2021 hingga 2023, selain menanggung kos rawatan perubatan serta menggaji penjaga.
Dalam pada itu, mahkamah peringkat pertama memutuskan perjanjian itu terbatal dan mengarahkan Lu memulangkan wang berjumlah 4.9 juta yuan (kira-kira RM3.18 juta).
Pada perbicaraan rayuan, jumlah sebenar disahkan 4.8 juta yuan (kira-kira RM3.12 juta) dan Mahkamah Pertengahan Pertama Beijing mengekalkan keputusan sama.
Kes itu kini menjadi perdebatan dalam kalangan masyarakat dengan ada yang menyokong ibu dan ada juga yang mempertahankan tindakan anaknya.
© New Straits Times Press (M) Bhd