suharmin.yusuf@hmetro.com.my
Foto Rohanis Syukri
Kuala Lumpur: Kedai runcit masih mampu bertahan meskipun dihimpit arus persaingan pasar raya besar dan rangkaian pasar mini moden kerana ia terus menjadi pilihan penduduk yang mahukan kemudahan segera serta hubungan mesra dengan peniaga.
Tinjauan Harian Metro sekitar Pantai Dalam di sini, mendapati walaupun berdepan harga borong lebih tinggi dan kekangan stok berbanding pesaing besar, namun rata-rata kedai runcit tradisional itu masih relevan menjadi nadi komuniti setempat.
Pekerja sebuah premis yang sudah beroperasi lebih 20 tahun, Kaizul, 28, berkata, kedai berkenaan beroperasi 24 jam setiap hari sekali gus menjadi tumpuan pelanggan yang memerlukan barangan secara mendadak terutama pada waktu malam.
Menurutnya, premis itu kekal relevan walaupun kawasan sekitarnya kini dipenuhi dengan pasar mini moden.
“Kami hanya menjual makanan kering dan keperluan asas seperti air mineral, gula serta tepung yang memang sentiasa diperlukan penduduk.
“Antara barangan paling laris dibeli pelanggan termasuk air mineral, minuman tin serta makanan segera kerana ia mudah dan cepat digunakan,” katanya ketika ditemui Harian Metro hari ini.
Menurutnya, kelebihan utama kedai kecil seperti itu adalah lokasinya dekat dengan kawasan perumahan, mudah diakses dan sentiasa dibuka.
“Ramai penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi dan Perumahan Awam (PA) Bukit Angkasa yang datang membeli kerana sudah biasa dengan kedai ini serta lebih selesa berurusan dengan kami.
“Walaupun berdepan persaingan daripada pasar mini moden yang menawarkan pelbagai promosi, kedai tradisional masih menjadi pilihan kerana hubungan mesra kami dengan pelanggan,” katanya.
Kaizul berkata, komitmen menyediakan barangan asas pada harga berpatutan menjadi kekuatan utama kedai kecil ini walaupun berhadapan cabaran harga borong barangan yang kian meningkat.
Pekerja premis yang hanya mahu dikenali sebagai Malik, 29, berkata, kedai berkenaan sudah beroperasi sejak 2020 dan menjadi pilihan warga sekitar untuk mendapatkan pelbagai keperluan asas harian.
“Pelanggan kami kebanyakannya penduduk berhampiran seperti PPR Pantai Ria, PPR Pantai Permai serta PPR Seri Pantai yang lebih selesa membeli di sini kerana dekat dengan rumah selain hubungan mesra yang sudah terjalin sejak awal.
“Antara barangan paling laris ialah air mineral selain beras, gula dan keperluan asas lain yang sentiasa mendapat permintaan tinggi,” katanya.
Menurutnya, barangan diperoleh daripada pelbagai pemborong dan setakat ini kedai masih relevan kerana warga sekitar sudah kenal serta tetap memilih membeli di situ.
© New Straits Times Press (M) Bhd




