'Bila dapat tahu saya positif HIV, segala-galanya hancur'

'Bila dapat tahu saya positif HIV, segala-galanya hancur'

Kuala Lumpur: Peningkatan jumlah pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) disahkan positif HIVakibat terjebak aktiviti seks berisiko dan tidak selamat sehingga tidak sedar dijangkiti memang mengejutkan.

Ikuti pengakuan seorang graduan yang kini jururawat, Azfan, 34, (bukan nama sebenar) mengenai pengalamannya dalam berdepan jangkitan berkenaan.


Soalan (S): Boleh ceritakan bagaimana boleh dijangkiti HIV?

Jawapan (J): Ketika berusia sekitar 25 tahun, saya sedar berada dalam kumpulan berisiko tinggi sebab terbabit dalam aktiviti seks tidak selamat. Saya pernah menggunakan aplikasi janji temu untuk berkenalan dengan orang baharu dikenali. Pada awalnya saya agak naif, tetapi lama-kelamaan saya berkenalan dengan seseorang dan mula menjalinkan hubungan. Dari situlah bermula pengalaman seks sejenis akhirnya membawa kepada jangkitan HIV. Apabila sudah terjebak, maka terasa keinginan hendak lakukan lagi. Kemudian saya mula jumpa lelaki lain dan bertukar-tukar pasangan.

Saya kerja dalam bidang kesihatan di sebuah hospital terkemuka di Selangor. Satu hari ada pemeriksaan kesihatan dan tersebar cerita ada seorang staf kena HIV. Saya pun lakukan pemeriksaan tetapi keputusannya negatif. Malangnya saya leka apabila terus terjebak melakukan aktiviti seks berisiko. Satu hari masa bercuti, saya rasa badan tidak sihat dan lesu. Saya mengalami sakit perut yang teruk lalu membuat ujian di klinik swasta. Pada malam itu doktor hubungi saya, memaklumkan keputusan saya positif HIV. Benda paling saya takuti selama ini, akhirnya berlaku juga, terkena saya sendiri.


S: Apa reaksi dan perasaan anda pada masa itu?

J: Saya terdiam dan tidak tahu hendak bercerita dengan siapa. Perasaan bercampur-baur dan risau kerana dijangkiti ‘benda’ paling ditakuti dalam hidup. Saya tak boleh tidur lena kerana runsing memikirkannya. Bila dapat tahu saya positif HIV, rasa segala-galanya hancur. Saya mula mengenang keluarga, kerja dan semua perkara. Saya sedar saya bukan orang baik. Kemudian saya berfikir, kenapa masih sanggup buat aktiviti berisiko walaupun takut ‘benda’ itu, tetapi masih juga lakukan. Inilah akibat harus ditanggung.


S: Pernah rasa putus asa sehingga cenderung tamatkan riwayat hidup?

J: Syukur Alhamdulillah pada waktu itu saya tidak ada perasaan untuk bunuh diri. Ada orang hendak bunuh diri selepas dirinya positif HIV. Saya tidak. Allah masih memberi saya kekuatan sehingga saya tak fikir ke arah itu. Waktu saya disahkan positif HIV, pada Ramadan, lalu saya berdoa kepada Allah. Saya juga buat keputusan berhenti kerja. Namun, kakak saya perasan perubahan diri saya. Sejak disahkan positif, saya semakin jarang pulang ke kampung. Saya beritahu kakak menerusi telefon yang saya sakit. Pada waktu itu saya tiada sistem sokongan kuat. Saya jelaskan pada dia yang saya positif HIV dan kalau tak boleh terima diri ini, saya reda. Kemudian kakak menangis sepanjang berbual dalam telefon. Kemudian, dia nasihat saya pulang ke kampung. Apabila tiba di kampung, kakak peluk saya dengan erat, menangis sambil tanya bermacam-macam soalan seolah-olah saya akan mati esok. Mungkin dia belum faham. Selepas jelaskan, kakak menerimanya dengan reda, begitu juga adik saya. Bahkan hubungan kami menjadi lebih rapat selepas itu.


S: Selepas tahu positif HIV, kenapa berhenti kerja sebagai jururawat?

J: Stigma. Tambahan pula emosi tidak stabil ketika itu. Waktu itu saya tidak dapat berfikir secara waras. Akibatnya, kereta saya kena tarik dengan bank. Masa duduk di rumah perlindungan, saya berdoa dan mohon kepada Allah diberi petunjuk dan hidayah menempuh kehidupan ini. Alhamdulillah, saya dapat tebus kembali kereta saya perlahan-lahan walaupun hidup susah. HIV adalah ujian dan ‘hadiah’ paling terbesar dalam hidup saya sebab ‘benda’ paling saya takut, saya sudah dapat. Memang saya dulu takut tetap disebabkan terikut dengan nafsu, saya tergelincir daripada landasan hidup.


S: Bagaimana kehidupan hari ini, adakah tersisih atau masih terperangkap dengan stigma?

J: Alhamdulillah sekarang saya sudah bekerja. Saya berkhidmat sebagai pembantu penyelidik di sebuah universiti. Majikan saya pun tahu status keadaan saya. Saya terus berdoa kepada Allah kerana masih takut. Saya nak sangat bekerja dalam sektor kesihatan, tetapi di Malaysia, orang kata tak boleh sebab menghidap HIV. Saya ada kenalan di bawah Kementerian Kesihatan (KKM), mereka tak benarkan penghidap HIV bekerja ambil darah. Tapi keadaan saya sekarang adalah virus HIV menjadi terlalu rendah atau tidak dikesan dalam darah. Sejak disahkan positif pada 2018, saya semakin stabil.


S: Ramai yang takut hendak bersentuhan dengan penghidap HIV kerana bimbang dijangkiti?

J: Ia hanya mitos seperti orang kata jangan berpelukan atau kongsi makanan. Sebenarnya salah. Tetapi kebanyakan golongan berisiko di luar sana tahu risiko ini. Kalau tengok dalam media sosial pelajar institut pendidikan tinggi (IPT) banyak orang kata peratusan dapat HIV ini kebanyakannya lakukan aktiviti berisiko dengan tidak memakai perlindungan seperti kondom. Ada juga yang tak tahu langsung status kesihatan mereka. Maksudnya mereka ini bertukar-tukar pasangan, mungkin dapat HIV daripada salah seorang. Yang dijangkiti pula tak buat ujian dan tak tahu dijangkiti. Kemudian dia tularkan pula kepada orang lain. Lama kelamaan jangkitan itu semakin menular.


S: Nasihat kepada mereka yang terbabit berisiko dijangkiti HIV?

J: Bagi mereka yang tak tahu status kesihatan mereka, buatlah ujian saringan. Sekarang banyak kit ujian kendiri dan boleh buat sendiri. Nak buat dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pun boleh. Nak akses laman web pun ada. Namun, saya belum bersedia untuk beri nasihat secara terbuka sebab ada isu keluarga dan lain-lain. Tapi kalau secara tertutup, dalam kumpulan tertentu, insya-Allah boleh. Saya pernah buat sesi sokongan sebelum ini. Saya cuma berharap masyarakat ubah stigma pada penghidap HIV. Kami bukan ancaman. Kami nak hidup macam orang lain.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top