mhafis@mediaprima.com.my
Ampang Jaya: Hanya kerana terlepas tarikh janji temu klinik dan diberi tarikh baharu menyebabkan lelaki mengamuk dan mengeluar kata-kata kesat serta cuba memukul doktor di Hospital Ampang.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, doktor lelaki berusia 30 tahun tampil membuat laporan polis susulan kejadian pada 12 Ogos lalu.
Menurutnya, mangsa memaklumkan semasa bertugas di kaunter saringan Jabatan Kecemasan Hospital Ampang, suspek berusia 61 tahun mengeluarkan kata-kata kesat serta cuba menerkam dan memukul mukanya kerana tidak berpuas hati terlepas tarikh janji temu dan diberikan tarikh baharu.
“Susulan itu, pada jam 4.20 petang 13 Ogos lalu, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya menahan suspek di kawasan Cheras, Kuala Lumpur.
“Semakan mendapati suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Azam berkata, suspek diberikan jamin polis dan kertas siasatan akan dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya minggu ini bagi mendapatkan arahan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd