sukan@hmetro.com.my
Seremban: Sabah FC mudah membenam Bunga Raya FC dengan keputusan 6-0 dalam saingan 16 pasukan Piala FA, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, sebentar tadi.
Skuad bimbingan Jean-Paul de Marigny tidak menunggu lama untuk berada di depan apabila pemain kebangsaan, Darren Lok berjaya meletakkan bola ke dalam gawang Bunga Raya pada minit kesembilan untuk gol pertama Sabah.
Pasukan pelawat itu dilihat terus mendominasi perlawanan dan berjaya melebarkan lagi jurang dengan pasukan yang beraksi di Liga A1 itu menerusi gol kedua oleh Fergus Tierney pada minit ke-18.
Meskipun anak buah Zurin Adra Azhar dilihat berusaha untuk memberikan cabaran dengan sesekali cuba untuk membawa bola ke dalam kawasan pertahanan Sabah, namun mereka gagal untuk melakukan percubaan merbahaya dan menguji penjaga gol Damien Lim.
Menghampiri waktu penamat separuh masa pertama iaitu pada minit ke-44, penyerang Sabah Miguel Angel dijatuhkan pertahanan lawan dalam kotak penalti sekali gus pengadil memberikan sepakan penalti.
Jafri Firdaus Chew tidak berdepan masalah untuk melakukan sepakan kemas ke dalam gawang Bunga Raya bagi gol ketiga Sabah.
Bersambung babak kedua, pelawat tampil agresif dengan Lok menjaringkan gol keempat pada minit ke-48 dan kemudian gol kelima pada minit ke-53 menerusi sepakan penalti.
Ajdin Mujagic turut mencatat nama sebagai penjaring apabila menyudahkan sepakan penalti pada minit ke-80 bagi gol keenam Sabah.
Jelas Bunga Raya yang beraksi buat kali pertama dalam saingan Piala FA bukan tandingan buat Sabah, yang memiliki reputasi besar dalam saingan kompetetif itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd