Kereta klasik terapi jiwa Eric

Kereta klasik terapi jiwa Eric

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Seremban: Demi minat, seorang lelaki sanggup membelanjakan puluhan ribu ringgit bagi membeli seunit kereta model klasik termasuk yang sudah uzur dan perlu dibaiki.

Kini, Eric Chin, 64, sudah memiliki 10 koleksi kereta pelbagai jenama yang harganya dianggarkan berjumlah ratusan ribu ringgit, tidak termasuk kos baik pulih.

Meskipun jumlah yang dibelanjakan itu besar, Eric yang juga pengusaha syarikat tekstil dan perabot berasa puas kerana akhirnya mampu membeli kereta yang menjadi idamannya sejak zaman muda.

“Saya minat kereta berjenama yang klasik sejak usia 20-an lagi, cuma waktu itu tidak mampu, bergerak pun menaiki bas dan basikal.

“Jadi hanya mampu melihat kawan memandunya dan dia mampu kerana datang daripada keluarga berada. Tetapi selepas berusia 46 tahun iaitu pada 2007, saya akhirnya dapat membeli kereta klasik pertama model Jaguar Classic XJ40 tahun 1990 dengan harga RM30,000,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Bapa kepada dua anak itu berkata, dia pernah membeli kereta klasik dengan harga serendah RM10,000 dan tidak semuanya dalam keadaan baik kerana banyak juga yang perlu dihantar untuk dibaik pulih.

Bagaimanapun, kepuasannya adalah melihat hasil transformasi kereta selepas dibaik pulih kerana kelihatan baharu.

“Ramai mekanik tidak mahu menerimanya kerana rasa buang masa, jadi saya biasa menghantar ke bengkel rakan yang berminat.

“Kebanyakan kereta yang dibeli adalah model keluaran era 50-an, 60-an dan 70-an. Biasanya, kos baik pulih lebih tinggi berbanding harga belian.

“Anak dan isteri sudah faham minat serta hobi saya, jadi mereka menyokong sahaja. Saya pun seronok kerana dapat memiliki bermacam model kereta, salah satunya Mercedes klasik Coupe dua pintu dan menganggapnya istimewa kerana hanya ada 15 buah sahaja di negara ini,” katanya.

Eric berkata, selagi hidup dan berkemampuan, dia mahu meneruskan hobi itu kerana menganggapnya sebagai terapi buatnya pada usia emas.

“Saya sudah berusia, jadi kena ada hobi begini kerana dapat rakan baharu dan menyertai komuniti yang berkongsi minat yang sama.

“Bagi saya, tidak rugi pun kerana setiap tahun, harga kereta klasik meningkat, jadi ada nilainya berbanding menghabiskan duit ke tempat lain,” katanya yang juga gemar menyertai acara pameran kereta.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top