(5 Soalan) Saya bukan rasis – Rayer

(5 Soalan) Saya bukan rasis – Rayer

Minggu lalu, perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat bertukar tegang apabila berlaku perang mulut antara beberapa ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang susulan pantun ‘Dari Kuala Lumpur ke Sabah’ yang dibacakan Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Tumpuan turut terarah kepada Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer yang menimbulkan persoalan sama ada Pas membawa maksud ‘Parti Ajaran Sesat’ atau sebaliknya, yang mengundang rasa kurang senang dalam kalangan pemimpin parti itu.
Adakah Rayer bersikap rasis atau sebenarnya Abdul Hadi yang mencetuskan kekecohan itu sehingga tujuh minit di Parlimen?
Kepada wartawan Utusan Malaysia, Hasif Idris, Rayer menjelaskan apa yang berlaku ketika perbahasan tersebut Rabu lalu.

 

Apakah Yang Berhormat (YB) rasis?
Saya bukan rasis. Cuba lihat akaun Tik Tok saya, semua bangsa dapat peruntukan. Saya bukan seperti UMNO, MCA atau MIC yang hanya utamakan kaum tertentu.
Saya berbahas tentang orang Cina, India dan masjid yang perlu dibina di Parlimen saya.
Sebagai ahli Parlimen DAP, parti ditubuhkan bukan berasaskan kaum. DAP berpegang kepada prinsip sosial demokratik dan membela nasib semua kaum. Kita sentiasa menghulurkan bantuan kepada mana-mana pihak yang memerlukan bantuan, kita bersikap ‘buta warna’.

YB tuduh Pas adalah Parti Ajaran Sesat?
Saya amat dukacita dengan Ahli Parlimen Marang yang saya anggap sebagai pemimpin paling disegani dan berbahas dengan hujah yang bernas.
Namun, di minit-minit akhir perbahasan, beliau mengeluarkan kenyataan ‘KL bermasalah kerana dipimpin oleh DAP’. Itu kenyataan tidak berasas.
Saya kemudian bangun dan bertanya dengan tertib kepada Speaker Dewan Rakyat dan bukannya mengherdik, menghentam atau memaki hamun. Saya respon, adakah tuan boleh terima kalau saya kata Pas ini adalah ‘Parti Ajaran Sesat’?
Itupun saya hanya memetik kenyataan Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang pernah berkata begitu dahulu. Tidak semena-mena saya diherdik oleh ahli Parlimen Pas lain.

YB bermusuh dengan Pas?
Kita pernah berkawan de­ngan Pas semasa dalam gabungan Pakatan Rakyat. Waktu itu, saya adalah Ahli Dewan Unda­ngan Negeri (ADUN) Seri Delima di Bukit Gelugor, Pulau Pinang. Saya tiada masalah dengan Pas ketika itu.
Malah, sehingga hari ini, saya masih menyimpan dan menggantung gambar Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di pejabat Pusat Khidmat Rakyat di Jelutong. Pas ketika zaman itu sangat berbeza dengan sekarang.

Memang karakter lantang bersuara atau ‘diarah’ begitu?
Sebagai ahli Parlimen Kerajaan, sudah menjadi tugas saya untuk membela kerajaan. Itu adalah reaksi spontan saya, bukan ‘diarahkan’. Karakter saya di kawasan Parlimen pula berbeza, bukan seperti di Dewan Rakyat.
Perbahasan di Parlimen ibarat pertandingan bola sepak. Saya memegang posisi ‘pertahanan’. Saya perlu memainkan peranan secara serius bagi menangkis segala usaha pembangkang untuk menghasut.

Contohnya?
Semasa Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berbahas tentang RMK13, beliau membangkitkan persoalan tentang tiada peruntukan untuk menangani isu perumahan masyarakat India, seolah-olah kerajaan tidak memberikan perhatian terhadap kebajikan orang India.
Sekiranya saya tidak bangun mencelah ketika itu, beliau akan meneruskan ‘hasutan’ ketika berbahas. Akibatnya, saya dikecam di luar. Kononnya Takiyuddin berani bersuara bagi pihak masyarakat India.
Namun, apabila saya tiba-tiba bangun mencelah, ia disalah tafsir seolah-olah saya cuba mencantas beliau.
Adakah kita mahu terus terperangkap dengan ‘mentaliti silo’? India dengan cara mereka, Melayu dengan cara mereka dan Cina dengan cara mereka? Jika begini, bagaimana kita dapat membina masa depan yang benar-benar inklusif dan bersatu? – UTUSAN

Scroll to Top