Ibu dakwa bayi meninggal akibat kecuaian pengasuh

Ibu dakwa bayi meninggal akibat kecuaian pengasuh

hafidzul@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Seorang ibu menuntut keadilan atas kematian anak bongsunya berusia lapan bulan yang didakwa akibat kecuaian pengasuh.

Nur Adilah Burhan, 35, berkata, tragedi malang menimpa bayinya, Darwish Kyle Khaled selepas menghantar anaknya ke rumah pengasuh yang beroperasi secara persendirian di sebuah pangsapuri di Cheras, pada 10 Jun lalu.

Menurutnya, selain anak bongsunya, dia turut menghantar dua lagi anaknya, Norul Ariq Azka, 4, dan Norul Fareel Aldrich, 2, ke rumah wanita itu sejak 2023.

“Bagaimanapun pada hari kejadian, saya menerima panggilan dan mesej video mengejutkan daripada pengasuh kira-kira 12 tengah hari.

“Pengasuh memaklumkan anak saya macam selesema dan batuk tapi saya tengok video itu, Darwish sudah terbaring dengan mata ke atas, dan susah nak bernafas.

“Saya segera meminta bantuan ibu yang tinggal berdekatan untuk ke rumah pengasuh, namun setibanya di sana, ibu saya memaklumkan anak sudah kebiruan dan tidak sedarkan diri,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nur Adilah berkata, disebabkan ibunya dan pengasuh itu tidak mempunyai kenderaan sendiri, mereka meminta bantuan jiran untuk membawa Darwish ke hospital, namun bayi itu sudah berada dalam keadaan kritikal.

“Ketika di hospital, doktor maklumkan Darwish sudah nyawa-nyawa ikan dan perlu bantuan oksigen sebelum ditidurkan.

“Kebanyakan organnya juga sudah gagal berfungsi dan selepas dua hari berada dalam keadaan koma, Darwish disahkan meninggal dunia,” katanya.

Katanya, susulan kejadian itu, Nur Adilah membuat dua laporan polis dan satu laporan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Dakwanya lagi, ketika bersemuka dengan pengasuh berkenaan, wanita itu mengaku ada meninggalkan anaknya bersendirian pada hari kejadian.

“Malah dia seperti menyalahkan anak saya yang berusia empat tahun kerana tidak menjaga adiknya.

“Saya dimaklumkan oleh pihak hospital punca kematian anak saya disebabkan penyakit genetik sedangkan selama lapan bulan dia tidak pernah mengalami sakit yang teruk.

“Saya kini sedang menunggu keputusan asid deoksiribonukleik (DNA) bagi menentukan sama ada memang terdapat penyakit genetik atau sebaliknya,” katanya.

Menurutnya, sehingga kini dia sekeluarga masih belum mendapat sebarang perkembangan dari pihak berkuasa berhubung kes berkenaan.

“Saya menuntut keadilan bagi kematian anak saya, saya mahu kes individu terbabit dapat dibawa ke muka pengadilan serta tindakan tegas dapat diambil terhadap individu terbabit supaya tiada lagi nyawa anak kecil menjadi korban akibat kecuaian dan sikap tidak bertanggungjawab,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top