Along Cham dikecam netizen susulan kes cerai belum selesai

Along Cham dikecam netizen susulan kes cerai belum selesai

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Sepang: Pelakon dan pelawak sensasi, Along Cham, 42, memaklumkan dirinya menerima kecaman daripada warga maya susulan kes perceraian dengan isteri, Afreena Suhaimi, 33, yang belum selesai hingga kini.

Dakwa Along atau nama sebenarnya, Muhammad Nizamuddin Ahmad, situasi menjadi hangat apabila Afreena sering mengeluarkan kenyataan yang mengakibatkan orang luar salah faham terhadap dirinya.

“Ada juga orang kutuk. Tapi, urusan ‘job’ saya sampai dibatalkan kerana kes (cerai) ini tak adalah. Cuma, biasalah ada benda yang orang tidak tahu.

“Saya nak salahkan netizen pun tak boleh, fasal pihak defenden (Afreena) pun lepas keluar sahaja dari mahkamah macam-macam. Cakap itu, cakap ini.

“Saya kalau apa-apa nak keluarkan ‘statement’ memang rujuk pada peguam saya. Sepanjang kes ini memang kita apa-apa pun bentang dalam mahkamah sahaja.

“Kepada pihak media pun, setahu saya lah saya tak ada pun nak cerita apa-apa. Cuma, media ada juga yang di dalam dewan (perbicaraan) dan itulah yang berlaku dalam mahkamah,” katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu Along ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Sepang di sini untuk pengesahan lafaz cerai secara taklik yang dibuat ke atas Afreena menerusi permohonan difailkan Along pada Januari lalu.

Ditanya mengenai harapannya hari ini, Along berkata, dia berharap hakim dapat membuat keputusan, sekali gus kes cerai itu dapat diselesaikan sepenuhnya.

“Saya harap hakim dapat buat keputusan hari ini walaupun mental saya setakat ini tidaklah terganggu sangat kerana berada di pihak yang benar.

“Cuma mulut-mulut netizen sampai ada yang membabitkan keluarga. Malah, biasalah bila tak dapat cerita sebenar (netizen), maka lelaki yang akan kena (kecam) dari ‘A to Z’,” jelasnya.

Sebelum ini, Mahkamah Rendah Syariah Sepang di sini menetapkan tarikh 14 Ogos lalu dan hari ini untuk perbicaraan seterusnya bagi giliran Afreena membela diri terhadap dakwaan dibuat Along kepadanya.

Terdahulu, Hakim Syarie iaitu Muhammad Nazri Basrawi menetapkan kes pengesahan lafaz cerai taklik pasangan sensasi itu ditunda pada awal Julai lalu ke hari ini.

Along dan Afreena mendirikan rumah tangga pada 4 April tahun lalu yang juga perkahwinan keduanya selepas bercerai dengan isteri pertama, Zila Saeron pada September 2016.

Hasil perkongsian hidup daripada perkahwinan dengan Zila itu, Along dikurniakan seorang anak lelaki, Ahmad Daniel, 14, yang kini di bawah jagaannya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top