Kilang EV Proton di Tanjung Malim mula operasi September ini

Kilang EV Proton di Tanjung Malim mula operasi September ini

Kuala Lumpur: Kilang pembuatan kenderaan elektrik (EV) canggih Proton Holdings Bhd dijangka memulakan proses pengeluaran pada September ini.

Kilang yang terletak di kawasan teknologi tinggi di Tanjung Malim, Perak itu kini mencapai 90.4 peratus siap bagi pembinaan infrastruktur bangunan manakala pemasangan peralatan pada 83.5 peratus, menjadikan kemajuan keseluruhan projek pada 86.9 peratus.

Proton dalam kenyataan berkata, apabila siap sepenuhnya, kilang baharu ini menjadi pusat pengeluaran pelbagai model yang dibina di atas platform Global Modular Architecture (GMA).

“Model pertama yang bakal menempa sejarah ialah Proton e.MAS 7, model EV yang menjadi kebanggaan jenama automotif Malaysia.

“Pelancaran model ini disusuli dengan Proton e.MAS 5, model EV peringkat permulaan yang kini giat dipamerkan dalam siri jelajah seluruh negara, sekali gus menjadikan ia model yang paling dinanti-nantikan di Malaysia,” katanya.

Katanya, reka bentuk boleh diskala membolehkan peningkatan kapasiti sehingga 45,000 unit direka bentuk dengan teliti, susun atur kilang EV Proton menekankan ciri kebolehskalaan bagi menampung pelbagai model dan peningkatan volum pengeluaran pada masa hadapan.

“Dengan kapasiti pengeluaran permulaan 20,000 unit setahun, ia berupaya diperluaskan dan menampung kapasiti sehingga 45,000 unit.

“Pengembangan ini dilaksanakan secara berperingkat, sejajar pertumbuhan permintaan pasaran di Malaysia dan di luar negara.

“Untuk kawasan utama, setiap barisan peneluaran boleh menambah beberapa stesen dengan barisan penguji yang modular dan mampu menampung variasi platform atau pengeluaran pelbagai model,” katanya.

Katanya, di kawasan logistik, kilang ini berupaya untuk pengembangan masa hadapan, dengan aliran logistik dan sistem storan yang dioptimumkan bagi menyokong pasaran tempatan dan eksport.

“Infrastruktur seperti sistem utiliti, laluan pengendalian bahan, dan alat kebolehkesanan digital seperti Manufacturing Execution System (MES) dan Warehouse Management System (WMS) tersedia untuk menyokong peningkatan skala masa hadapan tanpa reka bentuk semula,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kejuruteraan Pembuatan di Proton, Wan Yousry Mohamed berkata, antara pencapaian kritikal yang dicapai ialah Ujian Mesin (Machine Try Out atau MTO), di mana badan kereta pertama diuji di kilang.

“Ujian percubaan ini bertujuan untuk memastikan kesediaan peralatan kami secara berterusan. Kami kini berada di peringkat akhir untuk menyediakan zon bagi pemasangan dan integrasi peralatan.

“Semua aktiviti penentukuran dan pengesahan peralatan akan dijalankan secara progresif pada fasa-fasa ini, sekali gus memastikan kami bersedia sepenuhnya untuk pelancaran pengeluaran,” katanya.

Bagi menyokong peningkatan sebelum pelancaran, fokus pengambilan pekerja segera kilang adalah pada peranan operasi dan teknikal yang kritikal.

“Sehingga kini, seramai 30 pekerja bukan eksekutif dengan latar belakang Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dan diploma telah direkrut, dengan matlamat segera untuk melatih sepenuhnya kakitangan utama ini sebelum pengeluaran berskala penuh bermula pada September.

“Malah, pembangunan kilang ini dijangka menjana lebih 200 peluang pekerjaan baharu untuk komuniti tempatan, terutamanya dalam bidang industrialisasi EV dan perkhidmatan teknikal,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top