Dah lama tangguh! Tun M gesa saman fitnah terhadap Anwar dipercepat -“Saya sudah terlalu tua..”

Dah lama tangguh! Tun M gesa saman fitnah terhadap Anwar dipercepat -“Saya sudah terlalu tua..”

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad atas mesra disapa Tun M gesa saman fitnah terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dipercepatkan bagi membersihkan namanya.

Dr Mahathir yang kini berusia 100 tahun menegaskan kes berkenaan sudah tertangguh terlalu lama dan beliau tidak mahu menunggu lebih lama lagi.

“Sebenarnya, Anwar telah meminta penangguhan dua minggu dan saya setuju…. tetapi sekarang sudah dua tahun, dan perbicaraan hanya akan diadakan pada 21, 23 dan 29 Oktober.
“Saya tiada masalah dengan tarikh itu, tetapi jika boleh, saya mahu ia dipercepatkan.
“Saya sudah lama menunggu (perbicaraan). Saya sudah terlalu tua,” katanya pada sidang media selepas menghadiri prosiding pengurusan kes di Mahkamah Tinggi, hari ini.

Menurut bekas Ahli Parlimen Langkawi itu, walaupun kebiasaannya plaintif tidak hadir dalam prosiding pengurusan kes, beliau memilih untuk hadir kerana mahu memantau sendiri perjalanan kes.

“Faktanya, pada saat akhir berlaku pertukaran pesuruhjaya kehakiman sebelum ini, yang dipindahkan ke tempat lain, dan pesuruhjaya kehakiman baharu yang akan mendengar kes ini masih baru dengan kes tersebut.
“Jadi saya kira beliau perlukan masa untuk meneliti kes,” katanya.

Tun M gesa saman fitnah terhadap Anwar dipercepat

Terdahulu, Dr Mahathir tiba di Kompleks Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah kira-kira jam 10.30 pagi dengan mengenakan sut kelabu, sebelum memasuki kamar mahkamah pada jam 11.05 pagi.

Kawalan keselamatan turut diperketat, dengan polis dan unit pemusnah bom dilihat melakukan pemeriksaan di dalam kamar sebelum prosiding bermula. Sepanjang prosiding kira-kira 20 minit, beliau duduk di barisan hadapan galeri awam bersama anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Peguamnya, Muhammad Rafique Rashid Ali, memberitahu mahkamah bahawa beliau telah memfailkan permohonan untuk mempercepatkan perbicaraan memandangkan faktor usia Dr Mahathir.

“Saya telah memfailkan permohonan untuk mempercepatkan perbicaraan dan saya mohon mahkamah mengambil kira faktor usia anak guam saya.
“Saya minta tarikh lebih awal. Jika boleh saya cadangkan, minggu terakhir September atau pertengahan Oktober,” katanya.

Peguam mewakili Anwar, Ranjit Singh, tidak membantah dan mengakui permohonan itu wajar dipertimbangkan.

Artikel lain: PM Anwar gesa penjelasan sumber kekayaan anak-anak Tun M

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Donald Joseph Franklin, kemudian menetapkan 21, 23 dan 29 Oktober sebagai tarikh perbicaraan, selain mengarahkan kedua-dua pihak memfailkan kenyataan saksi selewat-lewatnya pada 7 Oktober dan menetapkan 8 Oktober sebagai tarikh pengurusan kes akhir.

Dalam samannya, Dr Mahathir mendakwa Anwar mencemarkan reputasinya dengan menuduh beliau bersifat perkauman serta memperkayakan diri dan keluarganya sepanjang 22 tahun menjadi Perdana Menteri.

Beliau menuntut ganti rugi teladan RM100 juta dan ganti rugi am RM50 juta, selain permohonan maaf bertulis serta sidang media khas untuk Anwar menarik balik kenyataan tersebut.

Sumber: BH Online (Dawn Chan)

Scroll to Top