SPRM perlu ikut perubahan teknologi, kekal relevan perangi rasuah

SPRM perlu ikut perubahan teknologi, kekal relevan perangi rasuah

mhafis@mediaprima.com.my

Putrajaya: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu terus kekal relevan dengan sentiasa bergerak mengikut perubahan dalam dunia yang semakin kompleks didorong oleh perkembangan pesat teknologi dan era digital.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, SPRM tidak boleh ketinggalan dalam apa jua perkara walaupun dunia ketika ini sedang menyaksikan transformasi digital yang luar biasa.

“Ketika ini teknologi maklumat (IT), kecerdasan buatan (AI) dan analitik data raya sedang mengubah cara organisasi, kerajaan dan individu berinteraksi.

“Namun dalam kemajuan ini, rasuah juga turut berevolusi kepada transaksi tanpa jejak digital daripada komunikasi fizikal kepada komunikasi yang sulit untuk dijejak melalui ruang siber. Maka, untuk mengekang jenayah ini, SPRM juga tidak boleh bergerak secara konvensional,” katanya dalam ucapan pada Majlis Perhimpunan Bulanan SPRM Bil. 3 Tahun 2025 di Dewan Serbaguna, Ibu Pejabat SPRM di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Azam berkata, SPRM tidak boleh bergantung sepenuhnya dengan teknologi AI, tetapi perlu kecerdasan akal fikiran dan minda matang dalam menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan bagi menghadapi persepsi negatif kepada SPRM.

“Visi kita adalah menjadikan SPRM sebagai agensi antirasuah yang terunggul di dunia dan menjadikan negara kita bebas rasuah. Kita perlu bersedia melaksanakan tugas dan tanggungjawab serta sentiasa bertindak proaktif,” katanya.

Pada majlis itu, beliau turut memberi pesanan kepada semua pengarah-pengarah SPRM negeri supaya melihat semula kes-kes sindiket dan berprofil tinggi termasuk berbincang dengan Bahagian Perisikan SPRM untuk melihat tindakan proaktif terutama kes-kes yang melibatkan isu masyarakat.

Bagi sektor pencegahan pula, Azam berkata, SPRM akan melancarkan program kempen antirasuah pada 1 Oktober tahun ini sebagai usaha yang akan memberi tumpuan kepada pembangunan program pencegahan rasuah yang mampan melalui tatakelola dan pendidikan lebih baik kepada semua lapisan masyarakat.

Sementara itu, katanya SPRM turut menyediakan peruntukan kepada 181 pegawai SPRM yang akan menyertai program pengurusan berat badan dan kawalan metabolik sebagai langkah awal menyahut saranan BMI tidak melebihi 27.

Turut hadir Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Datuk Junipah Wandi; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman; Pengarah-pengarah Kanan dan Pengarah-pengarah Bahagian serta Negeri SPRM.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top