SHAH ALAM – Pemaju hartanah terkemuka, LBS Bina Group Berhad (LBS) melancarkan kilang berkedudukan bebas (detached factory) di Taman Perindustrian Alam Perdana (TPAP), Puncak Alam, Selangor.
Kolaboratif bersama syarikat kontraktor ‘turnkey’ berkelas tinggi (G7) yang terkenal dengan kepakaran dalam pembangunan perindustrian berskala besar, KLM Land itu sebagai langkah strategik untuk menarik pelabur.
Pengerusi Eksekutif Kumpulan LBS, Tan Sri Ir Dr Lim Hock San berkata, LBS komited untuk menyediakan ruang fleksibel dan berfungsi bagi membolehkan perniagaan berkembang maju.

Hock San
“Kepakaran KLM Land akan memastikan setiap kemudahan direka dengan teliti dan terperinci, sekali gus membantu pelanggan kami mengoptimumkan operasi mereka.
“Saiz unit fleksibel dan harga menarik menjadikan Alam Perdana pilihan ideal untuk semua jenis perniagaan, sama ada baru memulakan operasi atau sedang merancang untuk berkembang. Justeru, penyelesaian kami direka bagi memenuhi keperluan yang sentiasa berubah,” katanya.
Tambah beliau, projek tersebut juga mencerminkan komitmen di bawah Strategi 8 x 8 LBS yang memberi tumpuan kepada pembangunan inovatif dan lestari, sekali gus menjana nilai jangka panjang untuk para pemegang kepentingan.
“Dengan lokasinya yang strategik, tenaga kerja yang semakin berkembang dan infrastruktur yang kukuh, TPAP berada pada kedudukan terbaik untuk menyokong perniagaan dalam mencapai kejayaan jangka panjang,” ujarnya.
Pelancaran kilang berkedudukan bebas itu menandakan langkah penting dalam menyediakan ruang perindustrian yang dibina mengikut kehendak dan boleh diubah suai (build-to-suit) selain direka bagi memenuhi keperluan perniagaan moden yang berkembang di rantau ini.
Sejak diperkenalkan pada April 2024, TPAP mencatat kadar pengambilan memberangsangkan iaitu 73 peratus, seterusnya menonjolkan permintaan pasaran kukuh terhadap fasiliti perindustrian yang terletak di lokasi strategik dan versatil.
Dengan lot tanah berkeluasan antara 0.24 hingga 0.96 hektar, setiap unit kilang bebas binaan siap (built-up detached factory) berkeluasan antara 0.057 hingga 0.52 hektar.
Ia tersedia dengan ruang privasi unggul, fleksibiliti operasi dan kepesatan pembangunan jika dibandingkan dengan pilihan perindustrian konvensional.
Berbekalkan kepakaran teknikal yang luas, KLM Land akan memastikan setiap unit direka teliti dan disesuaikan untuk pelbagai keperluan operasi, reka bentuk struktur termaju dan teknologi terkini.
Setiap unit tersebut direka dengan kapasiti muatan lantai kukuh sebanyak 3 tan permeter persegi (3 ton/m²), menjadikan ia sesuai untuk jentera berat, proses pengeluaran khusus dan aktiviti pembuatan intensif.
TPAP dirancang secara menyeluruh dan menawarkan kluster perindustrian iaitu daripada teres, berkembar hingga ‘detached factories’ yang direka untuk memenuhi keperluan perniagaan di setiap peringkat pertumbuhan.
Dibangunkan khas sebagai taman perindustrian, TPAP bakal menjadi hab pelbagai industri berkaitan di satu lokasi, memudahkan bekalan diperoleh dengan cepat, mengurangkan kos penghantaran dan meningkatkan kelancaran operasi.
TPAP dijangka memanfaatkan tenaga kerja sedia ada, disokong dengan rangkaian lebuh raya utama yang memastikan kelancaran logistik dan kemudahan pengangkutan barangan sekali gus menyokong operasi yang efisien serta pertumbuhan perniagaan yang berterusan.