Polis minta bantuan kesan 2 lelaki hilang di Kuantan

Polis minta bantuan kesan 2 lelaki hilang di Kuantan

Kuantan: Polis meminta bantuan orang ramai bagi mengesan dua lelaki yang dilaporkan hilang sejak minggu lalu, termasuk seorang Orang Kurang Upaya (OKU).

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan Muhammad Aliff Syazwan Shah Mohd Nizam, 23, pada 14 Ogos lalu.

“Sehingga kini, mangsa masih belum ditemui,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, ibu mangsa Mazlianatum Mohamed Salleh, 46, ketika dihubungi berkata, kali terakhir beliau melihat anaknya adalah pada pagi Ahad ketika keluar untuk menunaikan solat Subuh di masjid.

“Dia memang selalu solat di masjid. Sebelum ini, kalau dia keluar, paling lewat pun dua hari, tiga malam akan balik,” katanya.

Mazlianatum berkata, anaknya mempunyai ciri fizikal berkulit cerah, berketinggian 180 sentimeter, berbadan sederhana dan kali terakhir dilihat memakai jersi bersama seluar trek.

Dalam hantaran lain, Ashari berkata, pihaknya juga sedang mengesan seorang lagi lelaki Cheong Sang Tai @ Cheong Soon Tai, 75, yang turut dilaporkan masih hilang sejak Rabu (13 Ogos).

Beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat atau terlihat kedua-dua lelaki berkenaan untuk segera menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top