Petaling Jaya: Majikan boleh memanfaatkan sehingga RM2 bilion daripada dana levi Pembangunan Sumber Manusia Bhd (HRD) untuk menggajikan siswazah Malaysia mulai 1 Sept ini sebagai pemberian sempena sambutan kemerdekaan, kata Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong.
Sim berkata, inisiatif itu bukan sahaja akan membantu majikan meningkatkan aliran tunai, malah memberi nilai yang lebih tinggi kepada modal insan, mewujudkan lebih banyak pekerjaan dengan gaji lebih tinggi dan menyediakan latihan sambil bekerja kepada siswazah.
“Anda kini boleh menggunakan wang levi anda untuk membayar gaji pekerja sekiranya mereka siswazah universiti atau Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET),” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Tahunan Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) 2025 di sini malam ini.
Majlis makan malam itu yang turut dihadiri Menteri Digital, Gobind Singh Deo dan Presiden FMM Tan Sri Soh Thian Lai meraikan ulang tahun ke-57 penubuhan FMM.
Sim turut menggesa pemain industri supaya tidak mengabaikan modal insan dalam usaha mengejar produktiviti berasaskan teknologi, terutamanya dengan kemunculan kecerdasan buatan (AI) yang semakin mengubah landskap industri.
“Ini mengesahkan keraguan kami sejak beberapa tahun kebelakangan ini. AI menggantikan tenaga kerja yang dilatih secara akademik konvensional. Ini akan menjejaskan nilai isyarat ijazah akademik pada masa hadapan,” katanya.
Sim berkata, Malaysia telah membelanjakan sehingga RM77.2 bilion bagi pendigitalan sehingga akhir tahun lalu, manakala pemain teknologi global seperti Google, Microsoft, Bytedance dan Amazon telah memberikan komitmen untuk melabur melebihi RM60 bilion di negara ini.
“Melalui Strategi Semikonduktor Nasional, Malaysia juga telah menerima pelaburan RM46.5 bilion dalam sektor teknologi tinggi, pertumbuhan tinggi, bernilai tinggi seperti fabrikasi wafer, cip AI dan pengeluaran litar bersepadu,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd