WCE Holdings Berhad (WCEHB) mengumumkan prestasi kewangan syarikat bagi suku pertama berakhir 30 Jun 2025 (S1 FY2026) dengan merekodkan hasil sebanyak RM393.8 juta.
Menurut kenyataan WCEHB pada Isnin, lonjakan hasil sebanyak 421 peratus berbanding RM75.6 juta pada S1 FY2025 itu sebahagian besarnya didorong oleh aktiviti pembinaan yang lebih giat dalam segmen konsesi dan pembinaan, khususnya melibatkan kerja-kerja di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) serta Seksyen 3 dan 7 Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE).
“Selain itu, ia turut dipacu peningkatan kutipan tol susulan pembukaan seksyen tambahan di Selangor, iaitu Seksyen 1 dan 2 yang masing-masing mula mengutip tol pada September 2024 dan Jun 2025.
“EBITDA pada suku ini turut meningkat 84 peratus kepada RM33.4 juta berbanding RM18.1 juta pada S1 FY2025 sekali gus mencerminkan prestasi operasi yang kukuh,” kata kenyataan tersebut.
Sementara itu, kerugian sebelum cukai kekal pada RM34.6 juta, sama seperti suku yang sama tahun sebelumnya, disebabkan kos faedah berjumlah RM57.6 juta bagi seksyen siap bina.
Peningkatan kos faedah mencerminkan penyempurnaan lebih banyak seksyen berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
Berbanding dengan suku sebelumnya iaitu S4 FY2025, kerugian sebelum cukai syarikat telah berkurangan daripada RM42.9 juta kepada RM34.6 juta pada S1 FY2026 sekali gus menunjukkan peningkatan beransur-ansur dalam prestasi kewangan.
Melihat prestasi segmen konsesi, bahagian tol kekal sebagai pemacu utama hasil dengan mencatatkan peningkatan 451 peratus bagi S1 FY2026 berbanding suku tahun sebelumnya.
“Hasil kutipan tol meningkat 61 peratus suku ke suku dipacu oleh peningkatan jumlah trafik selepas pembukaan Seksyen 1 dan 2.
“Purata trafik harian meningkat dengan signifikan susulan pembukaan tersebut, dengan purata trafik harian suku tahunan bagi seksyen berkenaan naik 36 peratus berbanding suku tahun sebelumnya,” kata kenyataan itu.
Hasil daripada pembinaan dalam segmen konsesi pula meningkat 710 peratus suku ke suku, didorong oleh kerja-kerja yang dipergiat di R&R serta seksyen-seksyen yang masih berbaki di sepanjang WCE.
Sementara itu, kerugian segmen konsesi sebelum cukai kekal konsisten dengan suku yang sama tahun lalu, disebabkan pengiktirafan perbelanjaan faedah ke atas seksyen yang telah beroperasi selaras dengan keperluan MFRS.
Berikutnya, hasil segmen pembinaan dibawah WCE Maju Sdn Bhd meningkat sebanyak 230 peratus pada S1 FY2026 berbanding tahun sebelumnya, mencerminkan pelaksanaan projek yang lebih giat pada tempoh semasa.
Segmen tersebut mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM0.5 juta, berbanding kerugian sebelum cukai RM0.5 juta pada S1 FY2025.
Prospek dalam segmen konsesi termasuk Projek Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) melibatkan pembinaan lebuh raya bertol sepanjang 233 kilometer dari Banting, Selangor ke Taiping, Perak (termasuk 40 km yang akan dibina kemudian).
Projek ini adalah skim bina-kendali-serah dengan tempoh konsesi maksimum 60 tahun bermula 20 Disember 2013.
Sehingga kini, lapan daripada 11 seksyen telah siap dan beroperasi, meliputi 180 kilometer di Selangor dan Perak termasuk keseluruhan jajaran Perak (120 kilometer) yang kini telah siap sepenuhnya.
Syarikat menjangkakan peningkatan kutipan tol akan terus mengukuhkan aliran tunai dan prestasi operasi.
“Dalam jangka panjang, penyempurnaan penuh WCE dijangka memacu hasil melebihi kos pembiayaan sekaligus menyokong peralihan kepada keuntungan mampan,” kata kenyataan.
Bagi segmen pembinaan, WCE Maju Sdn Bhd sedang melaksanakan pelbagai projek dengan kontrak keseluruhan bernilai kira-kira RM800 juta.
Antaranya termasuk akses dari WCE ke pembangunan bercampur di Kota Seri Langat (Projek Seri Langat), Seksyen 7B (10 km) dari Persimpangan Assam Jawa ke Persimpangan Tanjung Karang dan pembinaan 10 kawasan R&R di sepanjang WCE.
Sehubungan itu, syarikat kekal memberi tumpuan kepada penyampaian projek tepat pada masanya dan pelaksanaan berkualiti bagi menyokong pertumbuhan mampan dalam segmen pembinaan.