7,500 papan telur diagihkan percuma

7,500 papan telur diagihkan percuma

bhnews@bh.com.my

MASJID TANAH: “Alhamdulillah, sepapan telur yang saya dapat percuma ini mampu membantu isteri membuat kuih raya atau digoreng untuk berbuka puasa hari ini.

“Terima kasih kepada pihak yang sudi menghulurkan sumbangan untuk orang seperti saya,” kata nelayan, Mohd Zaidi Azali, 54.

Beliau adalah antara anggota komuniti yang hadir untuk mengambil telur diedarkan secara percuma di pekarangan Dewan Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Tanjung Bidara, di sini, hari ini.

Bahan makanan itu diberikan secara percuma oleh Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh melalui program Gerobok Rezeki kepada anggota komuniti dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara.

Setiap DUN lain dalam Parlimen Masjid Tanah, iaitu Ayer Limau, Taboh Naning, Kuala Linggi dan Lendu turut menyediakan 1,500 papan telur untuk anggota komuniti di kawasan masing-masing.

Pekerja syarikat swasta, Mohd Salihin Awang, 36, berkata sumbangan itu walaupun tidak seberapa, tetap mengurangkan bebannya membuat persediaan menyambut Aidilfitri.

“Telur ini kalau tidak dibuat kuih, boleh digunakan untuk digoreng atau masak sambal atau kari buat berbuka petang ini,” katanya.

Samsiah Abdul Hamid, 50, berkata dia bercadang menggunakan telur itu untuk membuat kuih raya yang memerlukan penggunaan banyak bahan makanan itu.

“Satu papan telur pun jadilah untuk membantu meringankan beban saya membeli telur untuk dibuat kuih raya,” katanya.

Abd Rauf yang ditemui pada program itu berkata, ia adalah sebahagian daripada program Gerobok Rezeki UMNO Bahagian Masjid Tanah yang dimulakan dengan sumbangan 10,000 bahan makanan berbuka puasa pada 20 April lalu.

Selain itu, semalam, UMNO bahagian berkenaan menyumbangkan 5,000 botol minyak masak satu liter secara percuma melalui pembelian barangan bernilai lebih RM30 dan RM50 pelanggan di Malakat Mall, di sini.

Bagi setiap pembelian barangan lebih RM30 di pasar raya itu, pengguna diberikan sebotol minyak masak manakala bagi pembelian melebihi nilai RM50, mereka menikmati dua botol.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top